OPHELIA yang mempunyai tahap IQ lebih tinggi daripada Einstein. FOTO SWNS.com
OPHELIA yang mempunyai tahap IQ lebih tinggi daripada Einstein. FOTO SWNS.com
Daily Mail

London: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dipercayai mempunyai otak paling bergeliga di Britain dengan tahap IQ lebih tinggi daripada saintis terkenal, Albert Einstein.

Seawal usia lapan bulan lagi, Ophelia Morgan-Dew yang berasal dari Ross-on-Wye, Herefordshire, mula menyebut perkataan pertamanya selain mampu mengenali semua angka, warna dan abjad.

Ibunya, Natalie menyedari anaknya itu memiliki kebijaksanaan luar biasa sebelum membawanya bertemu pakar untuk mengetahui tahap IQ.

Apa yang mengejutkan, anaknya itu mempunyai tahap IQ 171 iaitu lebih tinggi daripada Einstein yang dilaporkan memiliki IQ 160.

Dia mengetepikan dua kanak-kanak pintar Britain lain yang mengambil ujian itu termasuk Arnav Sharma, 11, dan Rahul Doshi, 12, yang masing-masing memiliki IQ 162.

“Ophelia suka membaca buku dengan saya atau ayahnya selain menyukai angka, abjad serta komputer.

“Dia aktif dan sentiasa melakukan sesuatu serta bersemangat tinggi. Dia suka bermain dengan sepupunya dan pergi ke taman,” kata Natalie.

Ophelia mampu mengingati semua perkara yang berlaku ketika dia berusia setahun dan kebanyakan orang dewasa tidak mempunyai daya ingatan sebelum mereka berusia tiga tahun.

Kanak-kanak itu juga kini menjadi ahli termuda dalam persatuan IQ tinggi, Mensa dan dikatakan memiliki kapasiti intelektual dua kali lebih tua daripada usianya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 9:23 AM