ASAP tebal susulan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal susulan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
Reuters

Kaherah: Mesir yang menjadi perantara rundingan gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza, mengusulkan beberapa cadangan kepada pejuang Hamas.

Antaranya, Mesir mengesyorkan Hamas melepaskan kuasa di Semenanjung Gaza sebagai balasan kepada gencatan senjata kekal, kata dua sumber keselamatan Mesir.

Bagaimanapun, Hamas dan Jihad Islam menolak cadangan itu, kata sumber Mesir. Pegawai kepada kedua-dua kumpulan itu menafikan secara terbuka apa yang dikatakan sumber berkenaan.

Pemimpin kedua-dua kumpulan itu berulang kali menegaskan masa depan pascaperang Gaza harus diputuskan oleh rakyat Palestin sendiri dan bukannya mengikut 'telunjuk' kuasa asing.

Cadangan lain Mesir adalah gencatan senjata berbilang peringkat, dengan yang bersifat sementara pada peringkat awal, untuk tempoh satu atau dua minggu, kata dua sumber keselamatan Mesir.

Gencatan senjata sementara itu boleh diperbaharui.

Menurut pegawai Palestin, ia adalah gencatan senjata tiga peringkat dengan pembebasan semua tahanan wanita, kanak-kanak dan lelaki tua untuk 10 hari pertama.

Sebagai balasan, Israel akan membebaskan sejumlah banduan Palestin yang dipersetujui dalam kategori sama, menghentikan semua pertempuran, menempatkan semula kereta kebal ke luar Gaza dan membenarkan penghantaran bantuan perubatan dan makanan, bahan api dan gas memasak.

Ia juga akan membolehkan pergerakan orang ramai kembali ke utara Gaza.

Peringkat kedua menyaksikan Hamas membebaskan semua tentera wanita Israel.

Peringkat ketiga yang mungkin berlangsung selama sebulan untuk pembebasan semua tebusan sebagai balasan untuk jumlah tahanan Palestin yang dipersetujui.

Israel akan mengundurkan kereta kebal dari Gaza dan kedua-dua pihak akan menghentikan semua aktiviti pertempuran.

Sumber Mesir berkata bahawa, kedua-dua kumpulan Hamas dan Jihad Islam, yang mengadakan perbincangan berasingan dengan pengantara Mesir di Kaherah, tidak akan berhenti berperang melainkan pencerobohan Israel di Gaza, ditamatkan.

Hamas dan Jihad Islam bagaimanapun menegaskan perjanjian pertukaran tahanan harus menyaksikan pembebasan semua rakyat Palestin di penjara Israel.

Israel dilaporkan terbuka kepada satu lagi gencatan senjata, namun menolak tuntutan pejuang Palestin untuk menamatkan perang dan pengunduran tenteranya dari Gaza.

Mesir dilaporkan akan membantu rundingan untuk membentuk kerajaan teknokrat di Gaza yang akan mengendalikan bantuan dan pembinaan semula wilayah itu dan usaha mengadakan pilihan raya.

Fasa terakhir cadangan itu akan menyaksikan pengunduran Israel dari Gaza, dan membenarkan pelarian pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 1:23 PM