FOTO fail menunjukkan sistem pertahanan Iron Dome milik Israel memintas roket yang dilancarkan dari Gaza, yang dilihat dari bandar Ashkelon, Israel. FOTO Reuters
FOTO fail menunjukkan sistem pertahanan Iron Dome milik Israel memintas roket yang dilancarkan dari Gaza, yang dilihat dari bandar Ashkelon, Israel. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Israel berkata, ia menawan semula kawasan di sempadan Gaza, dari Hamas, pada Selasa iaitu hari keempat pertempuran sengit yang menyebabkan beribu-ribu orang mati di kedua-dua belah pihak sejak pejuang melancarkan serangan mengejut.

Angka kematian di Israel meningkat melebihi 1,000 berikutan serangan terburuk dalam sejarah 75 tahun negara itu, manakala pegawai Gaza melaporkan 900 orang terbunuh, setakat ini, dan tentera Israel mendakwa, mayat kira-kira 1,500 pejuang ditemukan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa mengeluarkan amaran keras berhubung situasi kesihatan dan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

Dalam pada itu, Tentera Israel memanggil 300,000 pasukan simpanan dan menggerakkan kereta kebal dan kenderaan perisai berat lain berhampiran Gaza dan di sempadan utara dengan Lubnan, di mana tembakan berterusan.

Tentera berkata, pihaknya sebahagian besarnya menguasai semula kawasan selatan dan sempadan sekitar Gaza, dan mengusir pejuang Hamas yang menakluk lebih daripada 12 bandar.

Tetapi, lewat Selasa, di bandar Ashkelon di selatan Israel, tentera yang disokong oleh helikopter dan dron berbalas tembakan dengan beberapa pejuang, menyebabkan tiga pejuang terbunuh, kata tentera.

Serangan roket baharu turut dilepaskan dari Gaza ke arah Ashkelon, bandar di selatan Israel.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pula mengesahkan bahawa 14 rakyatnya antara yang terbunuh.

AS menghantar kapal pengangkut pesawat dan kapal perang lain ke timur Mediterranean sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghalang perkembangan konflik, dan juga menyediakan bantuan lain, termasuk berkongsi maklumat risikan dengan Israel.

Saudara-mara rakyat Amerika yang dipercayai ditahan di Gaza menggesa pentadbiran Biden untuk membawa mereka pulang dengan selamat.

Sementara itu, empat wartawan Palestin turut terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza, kata kesatuan media dan pegawai.

Letupan juga sekali lagi menggegarkan Gaza pada malam Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 9:38 AM