FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Damsyik: Tiga individu terkorban berhampiran ibu negara Syria, pada Jumaat, susulan serangan peluru berpandu Israel, lapor media kerajaan memetik sumber tentera.

"Musuh Israel melakukan pencerobohan. yang membawa kepada kematian tiga syahid dan beberapa kerugian harta benda," agensi berita rasmi Syria SANA memetik sumber.

Menurut sumber sama, peluru berpandu itu datang dari Bukit Golan yang diduduki Israel, dan dipintas oleh pertahanan udara Syria.

Wartawan AFP di sini berkata, mereka mendengar bunyi yang sangat kuat pada waktu malam.

Pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights berkata, bahawa tiga yang terbunuh adalah pegawai, manakala empat lagi kru pertahanan udara, cedera.

Menurut pemantau, serangan Israel menyasarkan kedudukan Iran dan depot senjata berhampiran ibu negara ini.

Kebakaran berlaku di salah satu kedudukan berhampiran lapangan terbang, di sini dan ambulans dilihat bergegas ke lokasi serangan, menurut Observatory.

Ia serangan terbaharu selepas satu serangan 13 Mei yang mengorbankan lima individu di tengah Syria.

Satu lagi serangan berhampiran Damsyik pada 27 April yang, menurut Observatory, membunuh 10 pejuang, antaranya enam askar Syria.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel melancarkan ratusan serangan udara dengan menyasarkan tentera kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah dari Lubnan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 10:03 AM