PENDUDUK Palestin mencari makanan selepas kebakaran akibat serangan maut Israel di kem perlindungan di Rafah. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin mencari makanan selepas kebakaran akibat serangan maut Israel di kem perlindungan di Rafah. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam menyifatkan serangan maut yang melanda kem perlindungan di Rafah, Gaza adalah kemalangan tragis yang sedang disiasat oleh kerajaannya.

"Di Rafah, kami memindahkan sejuta penduduk yang tidak terbabit dan di sebalik usaha terbaik kami, kemalangan tragis berlaku semalam (Ahad)," kata Netanyahu kepada parlimen.

Menurutnya, pihaknya sedang menyiasat kes itu dan akan membuat kesimpulan selepas Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 45 maut ketika serangan lewat Ahad yang turut mencetuskan kebakaran di sebuah penempatan untuk penduduk Gaza yang dipindahkan.

Kementerian di Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas juga berkata, 249 orang lagi cedera.

Israel menghadapi gelombang kecaman antarabangsa pada Isnin berhubung serangan Rafah, termasuk dari seluruh rantau itu serta dari Kesatuan Eropah, Perancis dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tentera Israel berkata, ia melancarkan siasatan ke atas serangan yang dikatakan dilakukan berdasarkan maklumat risikan yang tepat mengenai dua pejuang Hamas yang dikatakan terbunuh dalam insiden berkenaan.

Ia juga berkata, serangan itu tidak berlaku di kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi, yang mana tentera menggalakkan orang awam untuk berpindah sejak operasi darat bermula di Rafah.

Netanyahu ketika menyampaikan ucapan itu di Knesset iaitu Parlimen Israel turut berikrar untuk meneruskan pertempuran untuk memusnahkan Hamas.

"Tiada pengganti untuk kemenangan mutlak di Gaza," katanya kepada dewan.

Netanyahu mengecam tekanan, baik dalaman dan luaran, yang katanya sudah dihadapi kerajaannya sejak permulaan perang di Gaza.

"Mereka menekan kami ketika itu. Jangan masuk Gaza. Kami masuk! Jangan masuk Shifa! Kami masuk! Jangan masuk Khan Yunis! Kami masuk! Jangan masuk Rafah! Kami masuk!.

"Saya tidak berputus asa dan saya tidak akan berputus asa! Saya menghadapi tekanan dari dalam dan luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 9:41 AM