KANAK-KANAK berjalan membawa bekas berisi makanan yang disumbangkan agensi bantuan di kawasan runtuhan bangunan di Rafah. FOTO AFP
KANAK-KANAK berjalan membawa bekas berisi makanan yang disumbangkan agensi bantuan di kawasan runtuhan bangunan di Rafah. FOTO AFP
AFP

Geneva: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu merayu kepada Israel atas nama kemanusiaan supaya tidak melancarkan serangan ke atas Rafah, yang menjadi tempat perlindungan penduduk Gaza.

"Saya amat bimbang mengenai laporan rancangan Israel untuk meneruskan serangan darat ke atas Rafah," kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi ciapannya di X.

"Peningkatan keganasan di kawasan yang padat penduduk ini akan membawa kepada lebih banyak kematian dan penderitaan.

"Atas nama kemanusiaan, kami merayu kepada Israel untuk tidak meneruskan dan sebaliknya berusaha ke arah keamanan," tulisnya.

Menurut Tedros, pemindahan yang dirancang oleh tentera Israel sebelum melancarkan serangannya bukanlah penyelesaian yang praktikal..

"1.2 juta penduduk di Rafah tidak mempunyai tempat yang selamat untuk dipindahkan.

"Tiada kemudahan kesihatan yang berfungsi sepenuhnya dan selamat, yang ada di tempat lain di Gaza," katanya.

"Ramai terlalu lemah, lapar dan sakit untuk dipindahkan lagi. Bencana kemanusiaan ini tidak boleh dibiarkan menjadi lebih teruk," tulisnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meluluskan rancangan tindakan tentera di Rafah, menurut satu kenyataan pada Jumaat lalu, yang tidak memberikan butiran atau garis masa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) juga berulang kali memberi amaran terhadap operasi ketenteraan sedemikian.

Netanyahu selama berminggu-minggu berikrar untuk meneruskan perang selepas berjanji memusnahkan Hamas, susulan serangan kumpulan pejuang itu pada 7 Oktober lalu.

Serangan Hamas mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam.

Menurut Kementerian Kesihatan, Israel melakukan pengeboman tanpa henti dan pencerobohan darat di Gaza yang membunuh sekurang-kurangnya 31,553 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 9:44 AM