Toco sebelum ini membelanjakan AS$14,000 (kira-kira RM65,900)  untuk mengubah dirinya menjadi seekor anjing. FOTO Agensi
Toco sebelum ini membelanjakan AS$14,000 (kira-kira RM65,900) untuk mengubah dirinya menjadi seekor anjing. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Seorang lelaki dari Jepun yang sebelum ini membelanjakan AS$14,000 (kira-kira RM65,900) untuk mengubah dirinya menjadi seekor anjing membayangkan dia kini mahu berubah menjadi haiwan lain iaitu panda dan musang.

Portal NDTV melaporkan, lelaki dikenali Toco memberitahu saluran berita Jepun yang dia kini mahu "menjalani kehidupan sebagai haiwan baharu".

Katanya, ada empat haiwan yang ingin dicuba tetapi dua daripadanya mungkin tidak dapat dilakukan.

''Anjing dan manusia mempunyai struktur tulang yang berbeza dan cara ia membengkokkan kaki dan tangan... jadi sukar untuk melakukan pergerakan (itu). Saya sedang meneliti cara untuk menjadikan anggota badan saya kelihatan lebih seperti anjing.

"Selain itu, apabila anjing menjadi kotor, ia memerlukan banyak cara untuk membersihkannya.

"Sudah tentu, saya ingin menjadi haiwan lain juga. Saya mungkin secara realistik boleh menjadi anjing lain, panda atau beruang.

"Seekor musang atau kucing juga bagus, tetapi (ia) terlalu kecil untuk dicuba oleh manusia.

"Saya ingin memenuhi impian saya untuk menjadi haiwan lain suatu hari nanti," katanya kepada WanQol.

Toco sebelum ini berkata, dia memilih untuk berubah menjadi anjing Collie kerana itu adalah baka kegemarannya.

Lelaki yang enggan mendedahkan nama sebenarnya terus menyiarkan klip di salurannya yang menunjukkan dia pergi berjalan-jalan dalam kostum anjing, makan makanan anjing dan meniru tingkah laku haiwan berkenaan.

Lelaki bernama Toco itu memuat naik video keseluruhan pengalamannya untuk berubah menjadi anjing baka Collie di saluran YouTubenya.

Toco berkata, dia lakukan transformasi itu bagi memenuhi impian zaman kanak-kanaknya untuk "menjadi haiwan dan meneroka dirinya sebagai anjing".

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 10:52 AM