PASUKAN penyelamat menemui Suki di lokasi kejadian. FOTO Agensi
PASUKAN penyelamat menemui Suki di lokasi kejadian. FOTO Agensi
Agensi

London: Seekor anjing setia menjaga pemiliknya selama 36 jam selepas lelaki itu terjatuh ke dalam gaung sedalam 61 meter di Yorkshire Utara, England, baru-baru ini.

Daily Star melaporkan, anjing diberi nama Suki itu juga mendapatkan bantuan orang untuk membantu tuannya, seperti yang dilaporkan The Sun.

Kecekapan Suki dikatakan berjaya menyelamatkan nyawa Martin Clarke, 76.

Suki tidak meninggalkan Clarke, malah setia di sisi tuannya itu selama lebih sehari sehingga melihat ada orang di kawasan berhampiran.

Selepas itu, barulah anjing itu bergerak mendapatkan bantuan untuk pemiliknya.

Menurut keluarga Wykes yang menemui Clarke, anjing baka campuran Saluki-collie pada mulanya dilihat berlari ke arah mereka.

Ia kemudian membawa mereka ke tempat Martin terjatuh iaitu berhampiran dengan Sungai Esk dekat Lealholm, Yorkshire Utara.

"Kalau bukan kerana Suki, saya tidak rasa dia (Wykes) akan selamat. Suki anjing yang bijak dan setia.

"Martin terjatuh pada pagi Selasa, pada 27 Julai, dan kami tidak menemuinya sehingga petang Rabu," kata Tom.

Menurut Tom, terdapat individu pernah mendengar Suki menyalak, tetapi tiada siapa yang mengetahui lokasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 7:01 AM