TENTERA Taiwan melakukan latihan rutin di Pelabuhan Liaoluo di Kinmen. FOTO AFP
TENTERA Taiwan melakukan latihan rutin di Pelabuhan Liaoluo di Kinmen. FOTO AFP
AFP

Beijing: China, hari ini berkata, latihan ketenteraannya secara berterusan mengelilingi Taiwan sebagai tindakan sedang menguji keupayaan tenteranya untuk merampas kuasa ke atas pulau yang diperintah sendiri itu, beberapa hari selepas presiden baharu Taiwan, Lai Ching-te mengangkat sumpah.

Tentera China memulakan latihan itu pada pagi semalam, mengelilingi Taiwan dengan kapal tentera laut dan pesawat tentera.

Diberikan nama kod "Joint Sword-2024A", latihan itu dilakukan selepas Lai Ching-te memegang jawatan sebagai presiden baharu Taiwan minggu ini dan membuat ucapan perasmian yang dikecam China sebagai "pengakuan kemerdekaan".

Latihan itu adalah sebahagian daripada kempen intimidasi yang semakin meningkat oleh China yang menyaksikan ia menjalankan beberapa siri latihan ketenteraan berskala besar di sekitar Taiwan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Latihan dua hari itu menguji "keupayaan merampas kuasa bersama dan mengawal wilayah utama", kata Li Xi, jurucakap Komando Timur Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pihak mengelak peningkatan tekanan, manakala Amerika Syarikat (AS) sekutu terkuat Taiwan "sangat" menggesa China untuk bertindak dengan mengekang tekanan.

Beijing, yang berpisah dengan Taipei, pada penghujung perang saudara 75 tahun lalu, menganggap pulau itu sebagai wilayah pemberontak yang akhirnya mesti disatukan semula.

Semasa latihan itu dijalankan, Beijing berkata, ia akan menjadi hukuman yang berat bagi tindakan pemisah pasukan kemerdekaan Taiwan.

Presiden Lai berkata, beliau akan "berdiri di barisan hadapan" untuk mempertahankan Taiwan dalam ucapan pada petang Khamis, tanpa merujuk secara langsung kepada latihan yang sedang berlangsung.

Latihan sedang berlangsung di Selat Taiwan dan di utara, selatan dan timur pulau itu, serta kawasan sekitar pulau Kinmen, Matsu, Wuqiu dan Dongyin yang ditadbir Taipei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 11:45 AM