JET pejuang China dilihat di Selat Taiwan dekat Pingtan, kawasan darat di Tanah Besar paling hampir dengan Taiwan. FOTO fail AP
JET pejuang China dilihat di Selat Taiwan dekat Pingtan, kawasan darat di Tanah Besar paling hampir dengan Taiwan. FOTO fail AP
AFP

Taipei: Sebuah jet pejuang China terbang secara berbahaya kira-kira enam meter (m) dari pesawat pengawasan Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di Laut China Selatan.

Komando Indo-Pasifik AS dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada 21 Disember lalu.

"Juruterbang pejuang J-11 Tentera Laut China melakukan gerakan tidak selamat semasa memintas pesawat RC-135 Tentera Udara AS.

"Juruterbang China itu terbang di hadapan dan dalam jarak 20 kaki (enam m) dari pesawat AS, memaksa RC-135 melakukan pergerakan untuk mengelak perlanggaran," katanya.

Kata kenyataan itu, RC-135 menjalankan operasi rutin di Laut China Selatan, iaitu di ruang udara antarabangsa.

Insiden itu berlaku ketika China menghantar kumpulan pesawat pejuang ke laut arah Taiwan sebagai menunjukkan kekuatan, ketika Beijing meneruskan tuntutan kedaulatannya ke atas kepulauan itu.

Pada minggu lalu, China menerbangkan 71 pesawat pejuang termasuk berpuluh-puluh jet pejuang dalam latihan ketenteraan di sekitar Taiwan, salah satu tindakan terbesar sejak Beijing mula mengerahkan pesawat tentera ke zon pertahanan udara Taiwan.

Tentera Pembebasan Rakyat berkata, latihan tempur diadakan pada Ahad sebagai tindak balas kepada provokasi dan pakatan sulit yang tidak dinyatakan antara AS dan Taiwan.

Berdasarkan data AFP, terdapat lebih 1,700 pencerobohan sepanjang tahun ini berbanding 969 pada 2021 dan 380 pencerobohan pada 2020.

AS memberikan bantuan ketenteraan dan teknologi canggih kepada Taiwan untuk mempertahankan diri daripada sebarang kemungkinan pencerobohan China.

Washington juga menimbulkan kemarahan Beijing apabila enggan menerima tuntutannya ke atas banyak pulau kecil di seberang Laut China Selatan, pulau berada di perairan yang dituntut oleh negara Asia Tenggara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 3:52 PM