HELIKOPTER milik China dilihat di Pulau Pingtan - di wilayah Fujian, China - yang paling dekat dengan Taiwan. FOTO AFP
HELIKOPTER milik China dilihat di Pulau Pingtan - di wilayah Fujian, China - yang paling dekat dengan Taiwan. FOTO AFP
AFP

Beijing: China menghantar kapal perang dan pesawat dekat Taiwan untuk hari kedua pada Jumaat, kata Taipei.

Tindakan itu dilakukan selepas Presidennya, Tsai Ing-wen menimbulkan kemarahan Beijing dengan bertemu Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, tiga kapal perang China belayar di perairan mengelilingi Taiwan, manakala sebuah jet pejuang dan sebuah helikopter antikapal selam turut melintasi zon pengenalan pertahanan udara (ADIZ) pulau itu.

Rabu lalu, kapal pengangkut pesawat Shandong milik China, satu daripada dua dalam armada tentera lautnya, belayar melalui perairan tenggara Taiwan dalam perjalanan ke Pasifik barat, beberapa jam sebelum Tsai bertemu McCarthy di Los Angeles.

Beijing, yang menganggap Taiwan sebahagian daripada wilayahnya berulang kali memberi amaran terhadap pertemuan itu dan mengulangi pada Khamis bahawa pihaknya akan mengambil langkah tegas untuk melindungi kedaulatan negara.

Tsai dengan tegas memberitahu pemberita kerajaannya komited untuk memastikan cara hidup bebas dan demokratik rakyat Taiwan sebelum beliau meninggalkan Los Angeles, yang disinggahi ketika perjalanan pulang dari Amerika Latin.

"Kami juga berharap dapat melakukan yang terbaik untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan antara kedua-dua pihak," tambahnya.

Ogos lalu, China mengerahkan kapal perang, peluru berpandu dan jet pejuang di sekitar Taiwan untuk menunjukkan kekuatan terbesarnya dalam beberapa tahun selepas lawatan ke pulau itu oleh pendahulu McCarthy, Nancy Pelosi.

Perdana Menteri Chen Chien-jen berkata pada Jumaat bahawa agensi pertahanan dan keselamatan Taiwan sedang memerhatikan perkembangan, dan meminta orang ramai untuk yakin.

Khamis lalu, Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, tiga kapal perang dikesan di sekitar Selat Taiwan dan sebuah helikopter tentera laut China melintasi ADIZ pulau itu.

Keadaan itu mendorong gesaan dari AS meminta China untuk menghentikan tekanan ketenteraan, diplomatik dan ekonominya terhadap Taiwan, sebaliknya terbabit dalam usaha diplomasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 10:21 AM