Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin. - FOTO AFP
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin. - FOTO AFP
BERNAMA

Bangkok: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin telah mengarahkan agensi kerajaan supaya mengambil langkah lebih ketat terhadap dadah, terutamanya ganja.

Srettha berkata, masalah dadah adalah agenda nasional yang semua agensi mesti bekerjasama untuk membanterasnya.

Beliau menggesa Kementerian Kesihatan Awam mengeluarkan peraturan yang jelas membenarkan penggunaan bahan itu untuk tujuan perubatan dan kesihatan sahaja.

"Masalah dadah adalah keutamaan kerajaan kerana ia memusnahkan masa depan negara dan semua orang mesti bekerjasama untuk membanterasnya. Saya memohon agar ada kemajuan yang jelas dilaporkan dalam tempoh 90 hari," katanya dalam platform media sosial X, dahulunya Twitter.

Srettha pada Rabu mempengerusikan mesyuarat dengan Menteri Dalam Negeri Thailand Anutin Charnvirakul, Menteri Kesihatan Awam Somsak Thepsutin dan Menteri Kehakiman Tawee Sodsong, serta eksekutif agensi berkaitan, untuk membincangkan masalah dadah di seluruh Thailand.

Beliau berkata Kementerian Kehakiman, Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik, dan Biro Penindasan Narkotik mesti bekerjasama untuk menangkap pengedar dadah dan merampas aset mereka, serta menutup rangkaian dadah.

Ganja telah 'dihalalkan' di Thailand pada 2022, walaupun penggunaannya di tempat awam, penjualannya kepada kanak-kanak dan wanita hamil telah diharamkan.

Terma penggunaan yang samar dan had pemilikan ganja telah menjadi subjek perdebatan sejak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 4:27 PM