PEKERJA lapangan terbang mengalihkan kargo bantuan untuk Gaza yang tiba dengan pesawat dari Qatar. FOTO Reuters
PEKERJA lapangan terbang mengalihkan kargo bantuan untuk Gaza yang tiba dengan pesawat dari Qatar. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Seorang pegawai tertinggi Hamas mengumumkan syarat baharu untuk menghantar ubat-ubatan kepada tebusan yang ditahan kumpulan itu di Gaza, bahawa trak yang membawa bekalan itu tidak boleh diperiksa oleh Israel.

Di bawah perjanjian diusahakan oleh pengantara, Qatar dan Perancis, ubat-ubatan bersama dengan bantuan kemanusiaan akan dibekalkan kepada orang awam di Gaza sebagai pertukaran untuk menghantar ubat-ubatan yang diperlukan oleh tebusan yang ditahan di sana.

Seramai 45 tebusan dijangka menerima ubat-ubatan mengikut perjanjian itu.

Ahli kanan biro politik Hamas, Musa Abu Marzuk mendedahkan syarat baharu untuk penghantaran ubat-ubatan kepada tebusan.

"Untuk setiap kotak ubat yang masuk untuk mereka, 1,000 kotak akan masuk untuk penduduk Gaza," katanya di aplikasi X (dahulunya Twitter).

Marzuk berkata, ubatan itu akan dibekalkan melalui negara yang dipercayai Hamas, dan bukannya Perancis.

"Ubat-ubatan itu akan dibekalkan ke hospital yang berbeza. Ia akan (dibawa) masuk tanpa pemeriksaan Israel," katanya.

Semua penghantaran bantuan yang memasuki Semenanjung Gaza tertakluk kepada pemeriksaan Israel.

Ketika ditanya oleh pemberita semasa taklimat dalam talian, jurucakap kerajaan Israel, Eylon Levy tidak mengulas mengenai syarat terkini Hamas.

Sumber keselamatan di Mesir berkata, sebuah pesawat Qatar yang membawa ubat-ubatan tiba di bandar El-Arish, Mesir, berhampiran lintasan Rafah, pada Rabu.

Perancis berkata, ubat-ubatan itu akan dihantar ke hospital di Rafah di mana ia akan diserahkan kepada Palang Merah dan dibahagikan kepada beberapa kelompok sebelum dipindahkan kepada tebusan.

Hamas membebaskan berpuluh-puluh tebusan sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel semasa gencatan senjata pada November lalu yang dimediasi oleh Qatar, yang menjadi tuan rumah pejabat politik kumpulan itu.

Kira-kira 250 tebusan dibawa ke Gaza oleh pejuang Hamas semasa serangan pada 7 Oktober lalu.

Pegawai Israel berkata, 132 daripada mereka masih ditahan di wilayah itu, termasuk 27 yang dipercayai terbunuh, menurut pengiraan AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 12:13 PM