Lintah berukuran 6cm ditemui pada tekak seorang lelaki Vietnam. FOTO Agensi.
Lintah berukuran 6cm ditemui pada tekak seorang lelaki Vietnam. FOTO Agensi.
Agensi

Hanoi: Sungguh mengerikan apabila tekak lelaki Vietnam dihisap lintah selama sebulan akibat mengunyah tumbuhan herba di hutan bagi merawat kecederaan tangan.

Pesakit berusia 53 tahun itu memberitahu doktor, dia mengalami kecederaan pada tangannya semasa mengendalikan perangkap tikus kira-kira sebulan sebelum itu.

Seorang yang sangat percaya dengan ubat herba Shennong, lelaki itu kemudian memetik tumbuhan herba dan tanpa menitikberatkan kebersihan, dia segera memasukkan ke dalam mulut serta mengunyahnya menjadi pes untuk disapukan pada luka.

Sejak itu, lelaki berkenaan mengalami sakit tekak hingga suaranya serak sehinggalah pada satu tahap dia meludah darah, bukannya air liur.

Pada mulanya lelaki itu cuba mencari punca dengan membuka mulut sambil melihat cermin, tetapi tidak banyak membantu mengurangkan kesakitan dialami.

Sebaliknya, dia nampak sesuatu seperti ketulan coklat di atas tekak dan segera mendapatkan bantuan perubatan profesional di Hospital Nasional Endokrinologi di Hanoi.

Doktor melakukan endoskopi yang mendedahkan terdapat lintah berukuran enam sentimeter (CM) melekat kuat pada tekaknya berhampiran trakea.

Luka tangannya baik-baik sahaja, namun doktor percaya dengan memasukkan daun yang tidak dibasuh ke dalam mulutnya, dia membenarkan lintah masuk ke dalam badannya.

Menurut doktor, lintah biasanya kecil tetapi dengan sentiasa memakan darah, ia boleh membesar dengan sangat cepat dan menasihati orang ramai supaya mengelak daripada meminum sumber air tercemar atau makan daun kotor.

Penemuan kes seperti itu dianggap sangat jarang berlaku dan kes dilapor sebelum ini membabitkan lelaki yang dilapor pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 2:42 PM