ASAP tebal susulan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal susulan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Punah harapan untuk melihat gencatan senjata di Gaza, sebelum Ramadan, apabila wakil pejuang Hamas meninggalkan Kaherah, Mesir, dalam proses rundingan semalam.

Delegasi Hamas menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap respons Israel setakat ini dan meninggalkan Kaherah untuk berunding dengan kepimpinan pergerakan itu di Qatar.

Saluran berita Mesir, Al-Qahera melaporkan, rundingan itu kini akan disambung semula minggu depan.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Jack Lew menafikan rundingan itu terputus.

"Perbezaan semakin disempitkan. Ia belum lagi satu perjanjian.

"Semua orang melihat ke arah Ramadan yang semakin hampir.

"Saya tidak boleh memberitahu anda ia akan berjaya, tetapi ia belum lagi diputuskan," katanya.

Anggota Kabinet Perang Israel, Gadi Eisenkot berkata, Hamas berada di bawah tekanan yang sangat serius daripada pengantara untuk membuat tawaran balas.

Ketika rundingan berlarutan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali memberi amaran kebuluran berlaku di wilayah itu.

"Ia adalah satu tragedi untuk manusia dan memalukan bagi tamadun hari ini, pada abad ke-21, bencana kemanusiaan ini tidak dapat dihentikan," kata Menteri Luar China Wang Yi.

Di tengah-tengah runtuhan selatan Gaza, penduduk, Nevin al-Siksek, duduk di luar khemah sementaranya, mengalihkan perhatian anak perempuannya daripada pembunuhan beramai-ramai di sekeliling mereka dengan tanglung plastik untuk menyambut Ramadan.

Tanglung berwarna-warni simbol ikonik Ramadan, bulan kesembilan dalam kalendar Islam.

Di seluruh Gaza tahun ini, lampu hiasan itu adalah antara beberapa tanda yang menandakan bulan suci akan datang, di tengah-tengah amaran mengerikan tentang kebuluran besar-besaran.

Walaupun pengantara antarabangsa mengharapkan gencatan senjata menjelang Ramadan, tiada kejayaan yang dicapai pada Jumaat.

Sebahagian besar wilayah dengan 2.4 juta orang itu dibom, dengan kanak-kanak kurus kering dan kubur besar yang digali di dalam pasir.

Siksek berkata, dia dan keluarganya tidak ada apa lagi untuk kelangsungan hidup, apatah lagi menyambut Ramadan.

"Kami tidak mempunyai apa-apa makanan untuk disediakan," kata Siksek.

Suaminya, Mohammed Yasser Rayhan pula berkata, Ramadan sebelum ini disambut dengan bersemangat dengan hiasan indah dan kegembiraan.

"Sekarang Ramadan akan datang dan kita menghadapi perang, penindasan dan kelaparan," katanya.

Umat ​​Islam di Baitulmaqdis timur yang dijajah Israel pula bimbang mengenai keganasan di perkarangan Masjid Al-Aqsa apabila Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben Gvir, Februari lalu, mengumumkan penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki tidak boleh dibenarkan masuk ke Baitulmaqdis semasa Ramadan.

Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Selasa laluberkata, jemaah akan dibenarkan memasuki masjid dalam jumlah yang sama pada tahun lalu.

Berdasarkan Kementerian Kesihatan Gaza, 30,800 orang terbunuh majoriti wanita dan kanak-kanak sejak perang meletus 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 4:11 PM