Rundingan gencatan senjata masuk hari keempat. FOTO AFP
Rundingan gencatan senjata masuk hari keempat. FOTO AFP
AFP

Semenanjung Gaza: Rundingan gencatan senjata kini masuk hari keempat di Kaherah selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyeru kumpulan militan itu untuk bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata dengan Israel menjelang permulaan Ramadan.

Semua wakil telah membincangkan rancangan untuk menghentikan pertempuran sebelum bermulanya Ramadan pada minggu depan.

Ketika kebuluran mengancam Semenanjung Gaza yang terkepung, pesawat AS dan Jordan sekali lagi menurunkan bantuan makanan ke wilayah berkenaan dalam operasi bersama Mesir dan Perancis.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan kanak-kanak mati akibat kelaparan di dua hospital utara Gaza, dan Naib Presiden AS Kamala Harris telah menyatakan "kebimbangan yang mendalam tentang keadaan kemanusiaan di Gaza".

Wakil dari Hamas dan AS telah bertemu dengan pengantara Qatar dan Mesir di Kaherah untuk membincangkan rancangan gencatan senjata selama enam minggu, pertukaran berpuluh-puluh tebusan yang tinggal untuk ratusan tahanan Palestin, dan aliran bantuan yang lebih besar ke Gaza.

Al-Qahera News, yang rapat dengan perkhidmatan perisikan negara itu berkata, rundingan itu akan diteruskan pada Rabu.

Biden memberi amaran kepada Hamas supaya segera bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan selepas diplomat tertingginya Antony Blinken menggesa kumpulan itu menerima "gencatan senjata segera".

"Ia berada di tangan Hamas sekarang," kata presiden AS itu kepada pemberita dari Maryland.

"Mesti ada gencatan senjata kerana jika kita menghadapi keadaan yang berterusan hingga Ramadan, Israel dan Baitulmaqdis boleh menjadi sangat, sangat berbahaya."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 4:46 PM