SEORANG rakyat Palestin duduk di atas runtuhan bangunan. FOTO AFP
SEORANG rakyat Palestin duduk di atas runtuhan bangunan. FOTO AFP
AFP

Semenanjung Gaza: Kementerian kesihatan kendalian Hamas pada Khamis berkata, lebih 30,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak perang meletus antara Israel dan pejuang Hamas hampir lima bulan lalu.

Walaupun pengantara berkata perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas mungkin tinggal beberapa hari sahaja lagi, namun agensi bantuan memberi amaran mengenai kebuluran yang memuncak di utara Gaza.

Jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf al-Qudra berkata, kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan, dehidarasi dan kebuluran di Hospital Al-Shifa.

Beliau turut meminta 'tindakan segera' diambil organisasi antarabangsa untuk mencegah lebih banyak kematian.

Susulan keadaan yang semakin teruk di Gaza, Ketua Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) Samantha Power berkata Israel perlu membuka lebih banyak lintasan supaya 'bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan dapat ditingkatkan'.

"Ini adalah soal hidup dan mati," kata Power dalam video yang disiarkan di platform media sosial X.

Terbaru, sekurang-kurangnya 79 terkorban dalam tempoh semalaman di seluruh Semenanjung Gaza, kata kementerian kesihatan pada Khamis.

Pengantara dari Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) sudah berusaha selama enam minggu untuk rundingan gencatan senjata, dan berharap dapat dilaksanakan sebelum Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 3:40 PM