PENDUDUK Palestin membawa guni berisi tepung yang diambil trak bantuan. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin membawa guni berisi tepung yang diambil trak bantuan. FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Pertukaran tahanan Palestin dan tebusan Israel di Gaza hanya boleh berlaku selepas gencatan senjata, kata pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan pada Selasa, lapor Reuters.

Kenyataan itu ketika rundingan gencatan senjata di Kaherah antara Hamas, Mesir dan Qatar, diteruskan pada hari ketiga semalam, tanpa kehadiran wakil Israel.

Hamdan, bercakap pada sidang akhbar di Beirut, mengulangi syarat kumpulannya untuk perjanjian gencatan senjata iaitu penamatan serangan ketenteraan Israel, pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza, dan kembalinya penduduk Palestin yang melarikan diri ke rumah mereka.

"Dalam dua hari lalu, (Hamas) membentangkan pendiriannya mengenai cadangan yang dikemukakan oleh pengantara Qatar dan Mesir.

"Kami menegaskan semula syarat kami untuk gencatan senjata, penarikan sepenuhnya (tentera Israel) dari Semenanjung Gaza dan kembalinya pelarian dari kawasan yang mereka tinggalkan, khususnya di utara Gaza," katanya.

AFP sebelum ini melaporkan Hamas dan Amerika Syarikat (AS) bertemu dengan pengantara Qatar dan Mesir di Kaherah, pada Selasa, untuk rundingan hari ketiga bagi gencatan senjata.

Rundingan menuntut gencatan senjata selama enam minggu serta pertukaran baki puluhan tahanan Israel dengan ratusan tahanan Palestin di Israel dan aliran kemasukan bantuan kepada Gaza.

Wakil Israel setakat ini menjauhkan diri daripada rundingan, walaupun tekanan diplomatik semakin meningkat untuk gencatan senjata menjelang Ramadan awal minggu depan.

Media Israel melaporkan, pengantara negara itu memboikot rundingan itu selepas Hamas gagal memberikan senarai tahanan yang masih hidup.

Israel berkata, ia percaya 130 daripada 250 tawanan ditangkap Hamas dalam serangan Oktober yang mencetuskan perang kekal di Gaza, namun 31 daripadanya sudah terbunuh.

Ketika keadaan di wilayah Palestin yang terkepung semakin merosot dan dilanda krisis kebuluran terburuk, Israel menghadapi teguran semakin tajam daripada sekutu utamanya, AS.

Naib Presiden AS Kamala Harris menyatakan, kebimbangan yang mendalam tentang keadaan kemanusiaan di Gaza semasa perbincangan di Washington dengan anggota kabinet perang Israel Benny Gantz, Isnin lalu.

Serangan mengejut Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023 menyebabkan 1,160 kematian, dengan kebanyakannya adalah orang awam, menurut kiraan AFP dengan berdasarkan data rasmi.

Sementara itu, operasi ketenteraan Israel di Gaza membunuh 30,534 penduduk, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 12:29 PM