FOTO fail pada 3 Mac menunjukkan suasana ketika matahari terbenam di Semenanjung Gaza. FOTO Reuters
FOTO fail pada 3 Mac menunjukkan suasana ketika matahari terbenam di Semenanjung Gaza. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Pengantara antarabangsa dan delegasi Hamas berada di Kaherah, pada Selasa, untuk rundingan bagi cuba menghentikan perang di Gaza menjelang permulaan Ramadan.

Utusan dari kumpulan pejuang Palestin dan Amerika Syarikat (AS) dijangka bertemu dengan pengantara Qatar dan Mesir untuk rundingan hari ketiga bagi gencatan senjata selama enam minggu, pertukaran berpuluh-puluh tebusan untuk ratusan tahanan Palestin dan aliran bantuan kepada Gaza.

Perwakilan Israel setakat ini menjauhkan diri daripada rundingan, walaupun tekanan diplomatik semakin meningkat untuk gencatan senjata sebelum Ramadan yang bermula awal minggu depan.

Media Israel melaporkan, pengantara negara itu memboikot rundingan berkenaan selepas Hamas gagal memberikan senarai tebusan yang masih hidup.

Pemimpin kanan Hamas, Bassem Naim memberitahu AFP, bagaimanapun, butiran mengenai banduan "tidak disebut dalam mana-mana dokumen atau cadangan yang diedarkan semasa proses rundingan."

Israel berkata, ia percaya masih ada 130 daripada 250 tawanan yang ditangkap oleh Hamas dalam serangan Oktober tahun lalu, tetapi 31 daripadanya terbunuh.

Ketika keadaan di wilayah Palestin yang terkepung semakin merosot dan penduduknya diancam kebuluran, Israel menghadapi teguran yang semakin tajam daripada sekutu utamanya iaitu AS.

Naib Presiden AS Kamala Harris menyatakan "kebimbangan mendalam mengenai keadaan kemanusiaan di Gaza" semasa perbincangan dengan anggota Kabinet Perang Israel, Benny Gantz di Washington, Isnin lalu.

Pada hari sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, misi bantuan ke dua hospital di utara Gaza membawa kepada adegan mengerikan kanak-kanak mati kebuluran, di tengah-tengah kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

"Kekurangan makanan mengakibatkan kematian 10 kanak-kanak," kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus selepas agensi itu melawat Hospital Al-Awda dan Hospital Kamal Adwan, pada hujung minggu lalu.

Di bandar utama selatan Gaza, Khan Younis, yang menyaksikan pertempuran hebat, orang ramai menemukan mayat reput dalam keadaan terbaring di jalan, dengan keadaan rumah dan kedai yang musnah.

"Kami mahu makan dan hidup. Lihatlah rumah kita. Bagaimana saya harus dipersalahkan, seorang bujang, tidak bersenjata tanpa sebarang pendapatan di negara miskin ini?" kata Nader Abu Shanab sambil menunjukkan ke arah runtuhan dengan tangan yang kehitaman.

Serangan mengejut Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023 menyebabkan 1,160 kematian, dengan kebanyakannya adalah orang awam, menurut kiraan AFP dengan berdasarkan data rasmi.

Sementara itu, operasi ketenteraan Israel di Gaza membunuh 30,534 penduduk, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 11:44 AM