Proses pengundian awal Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2024 di Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu. FOTO MOHD ADAM ARININ
Proses pengundian awal Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2024 di Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu. FOTO MOHD ADAM ARININ
BERNAMA

Jakarta: Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan kematian 57 pegawai pilihan raya setakat Sabtu.

Angka tertinggi dicatatkan di Jawa Barat dengan 13 pegawai, diikuti Jawa Timur (12), Jawa Tengah (11) dan Jakarta (enam).

Pegawai-pegawai ini memegang pelbagai peranan, termasuk 29 ahli Jawatankuasa Pengawas Pilihan Raya, 10 sukarelawan perlindungan masyarakat, sembilan saksi, enam pegawai, dua ahli jawatankuasa pusat mengundi, dan seorang ahli Lembaga Pengawas Pilihan Raya.

Menurut jurucakap kementerian Siti Nadia Tarmizi, punca utama kematian adalah penyakit jantung membabitkan 13 kes, kes kemalangan (lapan), manakala sindrom gangguan pernafasan akut dan hipertensi, masing-masing lima kes.

Kira-kira 15 peratus pegawai pilihan raya berusia lebih 55 tahun kerana ketersediaan sukarelawan yang terhad.

"Ada yang mempunyai komorbiditi yang tidak terkawal," katanya seperti dipetik oleh agensi berita Antara.

Kumpulan umur pegawai yang meninggal dunia berbeza-beza, dengan empat berumur 17-20 tahun, tujuh berumur 21-30 tahun, lapan berumur 31-40 tahun, 18 berumur 41-50 tahun, 15 berumur 51-60 tahun, dan lima berumur lebih 60 tahun .

Pada pilihan raya umum 2024, lebih 800,000 pusat mengundi dibuka di seluruh negara, dengan 5.74 juta pegawai, dalam dan luar negara, berbanding 5.66 juta pada 2019.

Dalam pemilihan presiden yang diadakan pada 14 Februari, data dari laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Umum, pemilu2024.kpu.go.id, pada 6.30 petang Sabtu mendedahkan pasangan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka mendahului dengan 57.95 peratus undi.

Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD, masing-masing dengan 24.48 peratus dan 17.57 peratus, meliputi 66.61 peratus kemajuan dalam pengiraan undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 5:52 PM