SHAHELMEY. FOTO Arkib NSTP
SHAHELMEY. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya kekal di kerusi Parlimen Putatan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu selepas Mahkamah Pilihan Raya hari ini menerima bantahan awal terhadap petisyen pilihan raya difailkan calon Pakatan Harapan (PH), Awang Husaini Sahari sebelum ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Wong Siong Tung ketika prosiding yang dikendalikan melalui aplikasi Zoom di sini.

Siong Tung turut menganugerahkan kos sebanyak RM10,000 kepada Shahelmey.

Sebelum ini Awang Husaini memfailkan petisyen pilihan raya pada 29 Disember lalu bagi mengsiytiharkan kemenangan Shahelmey di kerusi Parlimen Putatan pada PRU15 sebagai tidak sah.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat memenangi kerusi Parlimen Putatan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15 dengan majoriti tipis 124 undi.

Pertandingan empat penjuru di kerusi berkenaan menyaksikan Shahelmey mendapat 16,234 undi, mengalahkan Awang Husaini yang mendapat 16,110 undi.

Dua calon lagi iaitu Awang Mohd Said dari Parti Warisan (WARISAN) dan Patrick Payne dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), masing-masing mendapat 8,511 undi dan 394 undi.

Awang Husaini menamakan Shahelmey sebagai responden pertama, manakala Pegawai Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah kemudian memfailkan bantahan awal pada 13 Februari lalu untuk mengetepikan petisyen pilihan raya yang difailkan Awang Husaini.

SPR juga memfailkan permohonan yang sama pada tarikh berkenaan dan dibenarkan oleh mahkamah pada prosiding hari ini.

Shahelmey diwakili peguam Datuk Marzuki Spawi, Saiful Azian Mokhtar, Rizwandean M Borhan dan Hassan Murtaza, manakala Awang Husaini diwakili peguam Nelson Angang, Chua Kuan E dab Arthur Bonnie @ Borine.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan pula bertindak bagi pihak responden kedua dan ketiga.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 4:18 PM