Muslim Care Malaysia Society berjaya mengumpul dana lebih RM2 juta bagi menampung kos pembelian bangunan masjid di Kyoto, Jepun.
Muslim Care Malaysia Society berjaya mengumpul dana lebih RM2 juta bagi menampung kos pembelian bangunan masjid di Kyoto, Jepun.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Gombak: Selepas berjaya menyelamatkan sebuah masjid di Kyoto di Jepun tahun lalu, Muslim Care Malaysia Society kini berusaha mengumpul dana bagi pembinaan Masjid Nishikasai di Tokyo, Jepun.

Bilangan komuniti umat Islam yang kian bertambah di negara matahari terbit itu, perlu dibantu dengan pembinaan masjid yang turut menjadi pusat pengembangan Islam di negara berkenaan.

Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya sedang berusaha mengumpul dana RM1.25 juta bagi memastikan pembinaan Masjid Nishikasai, Tokyo tercapai.

Menurutnya, Masjid Nishikasai bukanlah masjid pertama diusahakan Muslim Care Malaysia Society & Muslim Care Japan, berikutan tiga masjid sudah berjaya dibina di Toyama, Chiba dan Kyoto, Jepun.

"Semua masjid hasil sumbangan dana rakyat Malaysia ini, membantu penyebaran dan kebangkitan syiar Islam di bumi Jepun.

"Saya yakin keprihatinan rakyat Malaysia dan kesungguhan komuniti Muslim di Jepun mampu merealisasikan pembinaan masjid ini. Kita hanya memerlukan baki RM1.25 juta sahaja lagi dalam memastikan dana pembinaan Masjid Nishikasai tercapai," katanya tadi.

Menurutnya, dana itu perlu dikumpulkan sebelum 30 Jun ini bagi mencukupkan jumlah RM4.4 juta yang amat diperlukan.

"Mudahan-mudahan sumbangan ini menjadi amal jariah kita sehingga ke jannah. Sumbangan wakaf kepada pembinaan Masjid Nishikasai boleh disalurkan melalui akaun Muslim Care Malaysia Society iaitu ke akaun Maybank 564490413882, Bank Islam 14032010093666 atau CIMB Bank 8604171675

(Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia).

Infak turut boleh dilakukan secara dalam talian melalui https://toyyibpay.com/TABUNG-MASJID-NISHIKASAI-TOKYO.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada beliau talian 019 2518771 dan Timbalan Presiden Muslim Care Mohd Johari Ismail di talian 016 9978323.

Pada Jun tahun lalu, Muslim Care Malaysia Society berjaya mengumpul dana lebih RM2 juta bagi menampung kos pembelian bangunan masjid di Kyoto, Jepun.

Ketika itu penduduk Islam di sana hanya mempunyai masa sehingga 25 Jun bagi mengumpul baki bayaran sebanyak RM2.73 juta untuk melunaskan kos pembelian bangunan masjid pertama di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 4:03 PM