ASAP tebal dilihat susulan serangan Israel di Khan Younis. FOTO
ASAP tebal dilihat susulan serangan Israel di Khan Younis. FOTO
AFP

Baitulmaqdis: Kumpulan Hamas menuntut gencatan senjata yang lengkap dan menyeluruh di Semenanjung Gaza.

Pegawai kanan Hamas, Taher al-Nunu berkata, tuntutan itu selepas orang tengah yang menjadi pengantara, Qatar memaklumkan, rangka kerja untuk gencatan senjata sementara sedang dirundingkan.

"Pertama sekali, kami mahukan gencatan senjata yang lengkap dan menyeluruh dan bukan gencatan sementara.

"Sebaik sahaja pertempuran dihentikan selebihnya butiran boleh dibincangkan termasuk pembebasan tebusan," katanya kepada AFP.

Katanya, Qatar bersama Mesir dan Amerika Syarikat mengetuai usaha pengantaraan antara Israel dan Hamas sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu.

Terdahulu Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani berkata, pertemuan dengan Ketua Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), Bill Burns dan pegawai tertinggi keselamatan Israel dan Mesir di Paris, menghasilkan rangka kerja untuk gencatan senjata secara berperingkat.

Beliau mengesahkan, rangka kerja itu akan menyaksikan tebusan wanita dan kanak-kanak dibebaskan terlebih dahulu dengan bantuan juga dijangka memasuki Semenanjung Gaza.

"Pihak terbabit berharap dapat menyampaikan cadangan ini kepada Hamas," katanya.

Setakat ini, tidak jelas sama ada Hamas menerima cadangan itu daripada Qatar.

Sebelum ini, Qatar menjadi orang tengah dalam gencatan senjata seminggu, penghujung November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 11:54 AM