PASUKAN penyelamat cuba mencari mangsa di bawah runtuhan akibat serangan Israel di  Nuseirat. FOTO AFP
PASUKAN penyelamat cuba mencari mangsa di bawah runtuhan akibat serangan Israel di Nuseirat. FOTO AFP
Bernama-Anadolu

Kaherah: Mesir mengesahkan pada Isnin terdapat cadangan baharu bagi gencatan senjata di Semenanjung Gaza yang disekat.

"Terdapat cadangan untuk dikemukakan bagi mencapai gencatan senjata di Gaza," kata Menteri Luar Sameh Shoukry semasa mesyuarat Forum Ekonomi Dunia di Arab Saudi, menurut Agensi Anadolu.

Beliau menggesa Hamas dan Israel mengkaji cadangan itu, tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.

"Kita mesti menamatkan krisis yang sedang berlaku di Gaza untuk menyelesaikan isu Palestin," kata Shoukry.

Diplomat tertinggi itu memperbaharui penolakan Mesir terhadap sebarang operasi ketenteraan Israel di Rafah, yang menempatkan lebih 1.4 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

"Kami menekankan keperluan untuk mengelakkan malapetaka kemanusiaan terhadap orang awam," tambahnya.

Delegasi perisikan Mesir mengadakan perbincangan dengan pegawai Israel pada Jumaat untuk membincangkan cadangan perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Cadangan baharu itu termasuk kesediaan Israel untuk membincangkan "pemulihan ketenangan mampan" di Gaza selepas pembebasan awal tebusan atas dasar kemanusiaan, lapor dua pegawai Israel yang disiarkan di laman web berita Axios.

Delegasi Hamas dijadual melawat Mesir pada Isnin untuk menyampaikan responsnya terhadap cadangan gencatan senjata itu.

Delegasi Israel juga dijangka melawat Mesir pada Selasa untuk meneruskan rundingan tidak langsung dengan Hamas bagi gencatan senjata di Gaza, lapor Anadolu memetik penyiar awam KAN.

Hamas dianggarkan menahan lebih daripada 130 tebusan Israel manakala Tel Aviv menahan lebih 9,100 rakyat Palestin di penjaranya.

Hamas menuntut untuk menamatkan serangan maut Israel di Semenanjung Gaza dan pengunduran tentera Israel dari wilayah itu untuk sebarang perjanjian pertukaran tahanan tebusan dengan Tel Aviv.

Hampir 34,500 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 77,600 yang lain cedera menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan sejak Israel melancarkan serangan kejam ke atas wilayah Palestin pada 7 Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 11:58 PM