MAJLIS Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja berlangsung Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei, semalam. FOTO Borneo Bulletin
MAJLIS Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja berlangsung Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei, semalam. FOTO Borneo Bulletin
Agensi

Bandar Seri Begawan: Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah selamat bertunang dengan pasangannya, Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah di Istana Nurul Iman di sini, semalam.

Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja berlangsung dengan rombongan Pengantin Diraja Lelaki menyampaikan hantaran pertunangan dikenali sebagai 'Tanda Diraja'.

Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Diraja Sahibul Irshad Pengiran Abdul Rahim mengetuai delegasi Pengantin Diraja Lelaki.

Ia disempurnakan mengikut adat dan tradisi Diraja Brunei, demikian menurut laporan Borneo Bulletin.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Yang Amat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Malik Sultan Hassanal Bolkiah.

Istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari, dan dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, pada 7 Januari lalu.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari, manakala acara kemuncak iaitu Majlis Bersanding Pengantin Diraja dijadualkan berlangsung di Istana Nurul Iman, pada 14 Januari.

Majlis Persantapan Diraja pula akan diadakan pada 15 Januari diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari.

Untuk rekod, Mateen, 32, ialah anakanda kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz.

Pasangannya pula ialah cucu penasihat khas kepada Sultan Brunei, Pehin Datuk Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 8:10 AM