Agensi

Bandar Seri Begawan: Pengiran Muda 'Abdul Mateen Bolkiah bakal melangsungkan perkahwinan dengan Dayang Anisha Rosnah Adam, Januari tahun depan.

Siaran berita RTB Brunei melaporkan, istiadat perkahwinan pasangan diraja itu akan berlangsung selama 10 hari.

Katanya, ia akan dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari diikuti Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari.

Acara kemuncak iaitu Majlis Bersanding Pengantin Diraja dijadualkan berlangsung di Istana Nurul Iman pada 14 Januari.

Seterusnya, pasangan itu bakal menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan.

Majlis Persantapan Diraja pula akan diadakan pada 15 Januari diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari.

Untuk rekod, Putera Mateen, 32, ialah anakanda kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz.

Selain itu, pengantin wanita pula ialah cucu penasihat khas kepada Sultan Brunei, Pehin Datuk Isa.

PENGIRAN Muda 'Abdul Mateen Bolkiah. FOTO AFP
PENGIRAN Muda 'Abdul Mateen Bolkiah. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 10:36 AM