Agensi

Bandar Seri Begawan: Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah bersama isterinya, Dayang Anisha Rosnah berlangsung di Istana Nurul Iman di sini, pagi ini.

Upacara penuh tradisi diraja itu bermula jam 10.10 pagi.

Ia turut dihadiri oleh tetamu diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

UPACARA penuh tradisi diraja itu berlangsung di Istana Nurul Iman. FOTO RTB
UPACARA penuh tradisi diraja itu berlangsung di Istana Nurul Iman. FOTO RTB

Terdahulu, Putera Mateen dan Dayang Anisha selamat diijabkabulkan dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien di sini, pada tengah hari Khamis lalu.

Mateen, 32, ialah anak ke-10 kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah - raja paling lama memerintah di dunia dan pernah menjadi orang terkaya di dunia.

Dayang Anisha, 29 - cucu kepada salah seorang penasihat utama ayahandanya - dilaporkan mempunyai jenama fesyen dan memiliki perniagaan dalam sektor pelancongan.

PENGIRAN Muda Abdul Mateen Bolkiah. FOTO RTB
PENGIRAN Muda Abdul Mateen Bolkiah. FOTO RTB

Mateen lulus sebagai pegawai kadet di Akademi Tentera Diraja Sandhurst dan mewakili negaranya dalam sukan polo di Sukan Asia Tenggara 2019.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau memainkan peranan yang semakin meningkat dalam diplomasi antarabangsa.

Putera raja itu mengiringi bapanya ke pertabalan Raja Charles dan Ratu Camilla pada Mei tahun lalu, dan pengebumian Ratu Elizabeth pada 2022.

DAYANG Anisha Rosnah. FOTO RTB
DAYANG Anisha Rosnah. FOTO RTB

Radio Televisyen Brunei (RTB) sebelum ini melaporkan istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari, dan dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, pada 7 Januari lalu.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari, manakala acara kemuncak iaitu Majlis Bersanding Pengantin Diraja berlangsung di Istana Nurul Iman, pada hari ini.

Majlis Persantapan Diraja pula akan diadakan pada esok (15 Januari), diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari.

DAYANG Anisha Rosnah. FOTO RTB
DAYANG Anisha Rosnah. FOTO RTB

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 11:27 AM