Agensi

Bandar Seri Begawan: Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah, selamat bernikah, hari ini, lapor AFP.

Istiadat pernikahan pasangan diraja itu berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien di sini, pada tengah hari.

Mateen ialah anak ke-10 kepada Sultan Hassanal Bolkiah - raja paling lama memerintah di dunia dan pernah menjadi orang terkaya di dunia.

Pengantin perempuannya - cucu kepada salah seorang penasihat utama ayahandanya - dilaporkan mempunyai jenama fesyen dan memiliki perniagaan dalam sektor pelancongan.

MERIAM ditembak selepas istiadat pernikahan Pengiran Muda Abdul Mateen. FOTO AFP
MERIAM ditembak selepas istiadat pernikahan Pengiran Muda Abdul Mateen. FOTO AFP

Istiadat perkahwinan pasangan diraja itu mencapai kemuncaknya pada Ahad, dengan upacara gilang-gemilang di istana 1,788 bilik.

Senarai tetamu itu dijangka termasuk tetamu diraja dan pemimpin politik dari dalam dan luar negara.

Mateen lulus sebagai pegawai kadet di Akademi Tentera Diraja Sandhurst dan mewakili negaranya dalam sukan polo di Sukan Asia Tenggara 2019.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau memainkan peranan yang semakin meningkat dalam diplomasi antarabangsa.

Putera raja itu mengiringi bapanya ke pertabalan Raja Charles dan Ratu Camilla pada Mei tahun lalu, dan pengebumian Ratu Elizabeth pada 2022.

MASJID Sultan Omar Ali Saifuddien. FOTO AFP
MASJID Sultan Omar Ali Saifuddien. FOTO AFP

Radio Televisyen Brunei (RTB) sebelum ini melaporkan istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari, dan dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, pada 7 Januari lalu.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada hari ini (11 Januari), manakala acara kemuncak iaitu Majlis Bersanding Pengantin Diraja dijadualkan berlangsung di Istana Nurul Iman, pada 14 Januari.

Majlis Persantapan Diraja pula akan diadakan pada 15 Januari diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari.

Berita berkaitan:

Istiadat Berbedak Putera Mateen, Dayang Anisha

Putera Mateen, Dayang Anisha selamat bertunang

Istiadat perkahwinan Putera Mateen, Dayang Anisha bermula

Putera Mateen nikah Januari 2024

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 3:17 PM