Seorang lelaki berlari untuk menyelamatkan kanak-kanak yang cedera. - FOTO Reuters
Seorang lelaki berlari untuk menyelamatkan kanak-kanak yang cedera. - FOTO Reuters
Bernama-Wafa

Gaza: Krisis bekalan perubatan di hospital di Gaza semakin memuncak berikutan pengeboman berterusan oleh tentera Israel sejak awal Oktober.

Lebih kritikal, profesional perubatan terpaksa melakukan pembedahan dan rawatan kecemasan tanpa bius untuk menyelamatkan nyawa mereka yang cedera parah akibat kekejaman penceroboh Israel di tengah-tengah kekurangan kakitangan perubatan dan infrastruktur hospital yang rosak teruk, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Nabil Al-Astal, pakar bius di Hospital Eropah di Gaza berkata sejak konflik semakin meruncing, malah sebelum tentera Israel menyerang Hospital Al-Shifa, doktor terpaksa melakukan pembedahan ke atas pesakit yang cedera parah tanpa anestesia kerana jumlah kes yang sangat banyak selain kekurangan bekalan perubatan.

"Rakan sekerja saya di sana telah melakukan banyak pembedahan tanpa menggunakan ubat bius sama sekali termasuk pembedahan caesarean dan amputasi.

"Masalahnya bukan sahaja gangguan bekalan ubat tetapi juga kekurangan kritikal kakitangan perubatan apabila ramai petugas kesihatan menjadi mangsa pembunuhan itu," katanya kepada WAFA.

Pekerja dan Kemudahan Kesihatan Jadi Sasaran

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 160 pekerja penjagaan kesihatan telah terbunuh semasa berkhidmat di Gaza sejak 7 Oktober.

WHO juga melaporkan jumlah rekod serangan ke atas kemudahan kesihatan di Gaza dari 7 Oktober hingga 28 November, berjumlah 203 serangan ke atas hospital, ambulans, dan kawasan bekalan perubatan, serta penahanan pekerja sektor kesihatan.

Ia menyatakan bahawa pada masa ini, hanya 18 daripada 36 hospital di Semenanjung Gaza beroperasi pada kapasiti terhad, manakala beribu-ribu penduduk Gaza terputus daripada mengakses hospital untuk rawatan susulan selepas serangan darat yang sengit.

"Walaupun begitu, pasukan perubatan yang masih tinggal terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik menggunakan ubat alternatif dengan kesan yang hampir sama, tetapi ia masih tidak dapat mengurangkan kesakitan kerana ia bukan penyelesaian yang ideal. Oleh itu, kebanyakan masa, pembedahan masih perlu dilakukan tanpa bius," jelas Nabil.

Pembedahan Kompleks Tanpa Bius

Sementara itu, pakar bedah Abdul Aziz Adel menyifatkan pembedahan ke atas pesakit secara sedar tanpa bius sebagai amat menakutkan kerana ia sangat menyakitkan dan memberi kesan negatif kepada sistem saraf badan.

"Tetapi di Gaza, amputasi bukan sahaja melibatkan proses yang kompleks tetapi juga perlu dilakukan dalam keadaan yang sangat kekurangan. Bayangkan azab yang ditanggung oleh pesakit yang mengalami keretakan tulang yang teruk," katanya.

"Pada satu ketika, doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk membuang organ dalaman yang rosak tanpa sebarang bius dan pensterilan," tambahnya.

Jelasnya, pembedahan kompleks melibatkan tulang patah tidak boleh dilakukan tanpa bius kerana semasa proses amputasi, sejumlah besar lapisan kulit perlu dipotong dan dikupas satu persatu. Setiap lapisan mengandungi sel saraf aktif yang akan menyebabkan kesakitan yang tidak tertanggung jika diuruskan secara fizikal tanpa bius.

"Patah tulang sudah sangat menyakitkan, dan lebih daripada itu, ia perlu dibedah menggunakan alat tajam tanpa bius. Jika pembedahan ditangguhkan, ia akan menambah kerumitan untuk kedua-dua doktor dan pesakit. Oleh itu, amputasi segera menjadi masalah satu-satunya penyelesaian untuk kelangsungan hidup pesakit," katanya.

Kain Kasa dan Bacaan Al-Quran untuk Melegakan Sakit

Ahmed Khaled, seorang jururawat di Hospital Nasser di Khan Yunis, berkata, "Dalam keadaan yang sangat terhad ini, kami hanya boleh memberi pesakit kain tipis untuk digigit, jika ada.

"Walaupun ia tidak menghilangkan kesakitan, apa lagi yang boleh kita lakukan?"

Satu detik yang tidak dapat dilupakan ialah apabila dia ditugaskan merawat seorang warga emas yang mengalami kecederaan parah akibat serangan udara Israel.

"Ketika itu saya tidak menemui kain kasa, apatah lagi ubat penahan sakit. Tetapi kecederaannya terpaksa dijahit segera. Saya meneruskan rawatan manakala dia hanya mampu membaca ayat al-Quran sehingga prosedur selesai," katanya.

Kemuncak Krisis Kesihatan

Menurut WHO, sejak awal perang, terdapat 120,000 kes jangkitan pernafasan akut, hampir 26,000 kes kudis dan kutu, dan 86,000 kes cirit-birit termasuk 44,000 dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun - iaitu 20 hingga 30 kali lebih tinggi daripada dijangka.

Sementara itu, kira-kira 1,150 kes jaundis, serta kes cacar air, ruam kulit, dan meningitis, turut direkodkan.

Pada 2 Disember, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan penularan wabak hepatitis dalam kalangan penduduk Palestin di pusat perlindungan yang diuruskan Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) di Gaza.

Kementerian Kesihatan Palestin hari ini menyatakan bahawa 16,456 rakyat Palestin telah terbunuh, dan lebih 42,000 telah cedera dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti oleh Israel di kawasan itu sejak 7 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 6:04 PM