ASAP tebal dilihat di Khan Yunis di selatan Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal dilihat di Khan Yunis di selatan Gaza. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Tentera penjajah Israel menjadikan Hospital Al-Awda di utara Semenanjung Gaza sebagai 'berek tentera', kata Kementerian Kesihatan di kawasan Palestin yang terkepung pada Selasa.

Agensi Anadolu melaporkan, dalam satu kenyataan jurucakap kementerian Ashraf al-Qudra berkata, tentera Israel menahan 240 rakyat Palestin termasuk 80 kakitangan perubatan, 40 pesakit dan 120 orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung di dalam hospital itu.

Beliau juga berkata, rakyat Palestin di dalam hospital itu terperangkap tanpa air, makanan, dan ubat, sambil menambah bahawa tentera Israel menghalang pergerakan antara unit hospital.

Al-Qudra berkata, tentera Israel sudah menahan enam kakitangan hospital, termasuk Pengarah Hospital Al-Awda, Ahmed Muhanna dan seorang pesakit.

Israel mengebom Semenanjung Gaza dari udara dan darat, mengenakan kepungan, dan melancarkan serangan darat sebagai tindakan balas terhadap serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober.

Sekurang-kurangnya 19,453 rakyat Palestin terbunuh dan 52,286 cedera dalam serangan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Angka kematian Israel dalam serangan Hamas berjumlah 1,200 orang, manakala lebih 130 tebusan masih ditahan oleh kumpulan Palestin di Gaza, menurut angka rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 3:53 PM