SEORANG lelaki Palestin dan wanita warga emas menerima rawatan perubatan di Hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza.
SEORANG lelaki Palestin dan wanita warga emas menerima rawatan perubatan di Hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza.
Bersama Syarifah Dayana Syed Bakri

Konflik di Gaza yang belum berakhir ternyata memberi kesan mendalam buat semua individu. Namun, bagi mereka yang bergelar ibu, sakitnya lebih kuat.

Berdasarkan laporan Palestine Chronicle, Gaza menjadi satu daripada lokasi paling berbahaya di dunia untuk didiami wanita.

Satu laporan dikeluarkan pertubuhan kemanusiaan ActionAid menyatakan wanita dan kanak-kanak di Gaza mengalami tahap keganasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dua ibu terbunuh setiap jam di Gaza dan tujuh wanita mati setiap dua jam.

Secara keseluruhan, wanita dan kanak-kanak merangkumi hampir 70 peratus daripada jumlah kematian keseluruhan.

Situasi lebih buruk perlu dihadapi wanita hamil di Gaza dengan anggaran 50,000 orang sedang menantikan kelahiran cahaya mata.

Dalam keadaan ini, setiap hari, 180 wanita merisikokan nyawa mereka untuk melahirkan anak tanpa penjagaan kesihatan yang mencukupi.

Ini kerana ada ibu hamil ini terpaksa melahirkan anak secara pembedahan dan pembedahan kecemasan tanpa penstrilan peralatan, ubat bius atau ubat penahan sakit.

Malah, jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mendedahkan bahawa penembak tepat askar Israel yang ditempatkan di sekitar Hospital Al-Awda di utara Gaza membunuh dan mencederakan beberapa wanita hamil yang dalam perjalanan ke hospital.

Dalam isu perubatan ini, kakitangan kesihatan di Gaza terpaksa berdepan situasi mendebarkan setiap hari dalam usaha menyelamatkan mangsa yang tiba di hospital tanpa henti.

Lebih kritikal, profesional perubatan terpaksa melakukan pembedahan dan rawatan kecemasan tanpa bius untuk menyelamatkan nyawa mereka yang parah akibat kekejaman penceroboh Israel di tengah-tengah kekurangan kakitangan perubatan dan infrastruktur hospital yang rosak teruk.

Pakar bius di Hospital Eropah di Gaza, Nabil Al-Astal berkata, sejak konflik semakin meruncing, doktor terpaksa melakukan pembedahan ke atas pesakit yang parah tanpa anestesia kerana jumlah kes yang sangat banyak selain kekurangan bekalan perubatan.

Katanya, sebelum serangan Israel lagi kaedah tanpa bius terpaksa dilakukan dan ia menjadi semakin kritikal sejak serangan berlaku.

Menurutnya, ada rakan sekerjanya melakukan banyak pembedahan tanpa menggunakan ubat bius sama sekali termasuk pembedahan caesarean dan amputasi.

Malah, lebih menyedihkan petugas kesihatan bukan saja berdepan kekurangan bekalan ubat, malah mereka terpaksa bekerja dalam jumlah yang semakin sedikit setiap hari kerana ramai petugas menjadi mangsa korban.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 160 pekerja penjagaan kesihatan terbunuh ketika berkhidmat di Gaza sejak 7 Oktober.

WHO juga melaporkan jumlah rekod serangan ke atas kemudahan kesihatan di Gaza dari 7 Oktober hingga 28 November lalu, berjumlah 203 serangan ke atas hospital, ambulans dan kawasan bekalan perubatan serta penahanan pekerja sektor kesihatan.

Pakar bedah, Abdul Aziz Adel menyifatkan pembedahan ke atas pesakit secara sedar tanpa bius sebagai amat menakutkan kerana ia sangat menyakitkan dan memberi kesan negatif kepada sistem saraf badan.

Namun, katanya di Gaza, amputasi bukan sahaja membabitkan proses yang kompleks, tetapi juga perlu dilakukan dalam keadaan yang sangat kekurangan.

Bayangkan azab yang ditanggung pesakit yang mengalami keretakan tulang teruk yang terpaksa berdepan prosedur perubatan tanpa sebarang ubat tahan sakit.

Katanya, ada masanya doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk membuang organ dalaman yang rosak tanpa sebarang bius dan pensterilan.

Ahmed Khaled yang juga jururawat di Hospital Nasser di Khan Yunis berkata, dalam keadaan yang sangat terhad, mereka hanya boleh memberi pesakit kain tipis untuk digigit jika ada, walaupun kaedah itu tidak membantu.

Menurutnya, antara detik yang tidak dapat dilupakan ialah apabila dia ditugaskan merawat seorang warga emas yang mengalami kecederaan parah akibat serangan udara Israel.

Katanya, ketika itu dia tidak menemui kain kasa, apatah lagi ubat penahan sakit. Tetapi, kecederaannya terpaksa dijahit segera.

Maka, dia meneruskan rawatan manakala warga emas itu hanya mampu membaca ayat al-Quran sehingga prosedur selesai.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 7:01 AM