TANGKAP layar video AFPTV menunjukkan rakyat Palestin mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan  di kem pelarian di Jabalia di utara Semenanjung Gaza, pada 31 Oktober 2023, di tengah-tengah pengeboman tanpa henti Israel ke atas wilayah Palestin. FOTO AFP
TANGKAP layar video AFPTV menunjukkan rakyat Palestin mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan di kem pelarian di Jabalia di utara Semenanjung Gaza, pada 31 Oktober 2023, di tengah-tengah pengeboman tanpa henti Israel ke atas wilayah Palestin. FOTO AFP
Mayat rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas rumah di kem pelarian Jabalia, terbaring di hospital di utara Semenanjung Gaza, 31 Oktober 2023. FOTO REUTERS
Mayat rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas rumah di kem pelarian Jabalia, terbaring di hospital di utara Semenanjung Gaza, 31 Oktober 2023. FOTO REUTERS
AFP

Semenanjung Gaza: Puluhan maut termasuk seorang komander Hamas apabila Israel dengan kejamnya melancarkan serangan udara menyasarkan Jabalia iaitu kem pelarian terbesar di Semenanjung Gaza semalam.

Raungan dan jeritan, udara berdebu ketika sukarelawan mencari mayat dan mangsa terselamat di celah blok konkrit dan logam berpintal di kem pelarian Jabalia di utara Gaza itu.

Rakaman video AFP menunjukkan sekurang-kurangnya 47 mayat ditemui.

Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), serangan ke atas kem pelarian terbesar di Gaza, dikenali sebagai Jabalia mengorbankan salah seorang pemimpin Hamas iaitu Ibrahim Biari.

Jurucakap Briged Ezzedine al-Qassam, berikrar untuk menjadikan Gaza sebagai "kubur" untuk tentera Israel.

Kementerian kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas memberi angka awal iaitu lebih daripada 50 maut dan 150 cedera, tetapi berkata berpuluh-puluh lagi mungkin tertimbus di bawah runtuhan.

Mereka mengecam apa yang dipanggil "pembunuhan beramai-ramai oleh Israel yang kejam" di kem itu.

Mesir membidas Israel melakukan "penyasaran tidak berperikemanusiaan terhadap blok kediaman".

Mereka berkata akan membuka sempadan Rafah untuk membenarkan masuk rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan perubatan.

Ia adalah kali pertama Kaherah bersetuju untuk membuka laluan itu kepada orang awam sejak konflik tercetus.

Serangan itu berlaku selepas sehari pertempuran sengit antara tentera darat Israel dengan Hamas di utara Gaza.

Ketika keganasan memuncak, usaha diplomatik intensif untuk membebaskan lebih daripada 230 tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza, antaranya warga Israel, warga asing dan dwi-negara, nampaknya membuat sedikit kemajuan, dengan Briged Al-Qassam berkata ia akan membebaskan beberapa orang asing "dalam beberapa hari akan datang."

Sementara itu di kem Jabalia, beratus-ratus orang boleh dilihat berkerumun runtuhan bangunan untuk mencari mangsa terselamat sebelum malam menjelang.

Tentera dalam kenyataan mengatakan pesawat pejuang IDF membunuh Komander Briged Jabalia Hamas, Ibrahim Biari iaitu salah seorang yang terbabit dengan serangan 7 Oktober.

"Selepas serangan itu, infrastruktur ketenteraan bawah tanah Hamas di bawah bangunan ini juga runtuh dan turut membunuh ramai pejuang Hamas," katanya.

Kementerian Kesihatan memberi angka kematian 8,525, iaitu 3,542 kanak-kanak dan 2,187 wanita.

"Gaza menjadi tanah perkuburan untuk beribu-ribu kanak-kanak. Ia adalah neraka hidup untuk orang lain," kata James Elder dari agensi kanak-kanak PBB UNICEF pada hari Selasa, menggambarkan jumlah mangsa kanak-kanak sebagai mengerikan.

Penduduk Kota Gaza, Ahmed al-Kahlout menyuarakan rasa terdesak yang dirasai oleh begitu ramai orang di dalam wilayah yang dilanda perang.

"Kami mahu hidup seperti orang lain di dunia ini, untuk hidup dengan tenang.

"Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Sekurang-kurangnya mereka boleh lakukan ialah memberi kami gencatan senjata, beri kami tiga jam, gencatan senjata sementara atau gencatan senjata," katanya.

Korban kemanusiaan di Gaza mencetuskan kebimbangan global, dengan masa semakin suntuk bagi kebanyakan 2.4 juta penduduk wilayah itu yang dinafikan akses kepada makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan.

Pakar bedah menjalankan amputasi di lantai hospital tanpa ubat bius, dan kanak-kanak terpaksa minum air masin, kata Jean-Francois Corty, naib presiden Medecins du Monde, yang mempunyai 20 kakitangan di lapangan.

Pada majlis pengebumian di selatan Gaza, orang yang berkabung menangis memayungi mayat saudara yang dibalut kain kafan putih sebelum mengebumikan mereka dengan tangan kosong.

"Kami meminta dunia untuk menunjukkan simpati kepada kanak-kanak untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini," Yusef Hijazi, datuk kepada seorang mangsa, memberitahu AFP.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berkata bantuan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan "belum pernah berlaku sebelum ini".

Pengarah Penerangan Pusat Lintasan Rafah, Hisham Adwan berkata 36 trak menunggu di sana sejak hari sebelumnya.

"Ia sangat perlahan dengan hanya 26 trak memasuki Gaza pada Isnin," katanya.

Sebelum konflik, purata 500 trak setiap hari bekerja bergemuruh ke Gaza.

Israel berkata ia sedang memeriksa kargo untuk memastikan senjata tidak diseludup masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 11:31 AM