ASAP tebal dilihat di Gaza susulan serangan udara Israel di wilayah bergolak itu. FOTO AFP
ASAP tebal dilihat di Gaza susulan serangan udara Israel di wilayah bergolak itu. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 11,078 pada Jumaat, kata Kementerian Kesihatan di Gaza.

Jurucakap kementerian, Ashraf al-Qudra berkata, korban kekejaman Israel itu termasuk 4,506 kanak-kanak, 3,027 wanita, dan 678 warga emas, manakala 27,490 orang cedera.

Agensi Anadolu melaporkan Ashraf berkata, 2,700 mangsa termasuk 1,500 kanak-kanak turut dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat pengeboman Israel.

"Pencerobohan Israel menyebabkan 198 pegawai perubatan mati dan 53 ambulans musnah.

"Israel menyasarkan 135 institusi kesihatan dan meletakkan 21 hospital dan 47 pusat kesihatan penjagaan primer tidak beroperasi," katanya pada sidang media di Bandar Gaza.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober. Hampir 1,600 warga Israel terbunuh sejak itu, menurut angka rasmi.

Selain jumlah korban yang besar dan pemindahan besar-besaran di Gaza, bekalan asas semakin berkurangan untuk 2.3 juta penduduk akibat pengepungan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 9:51 AM