PENDUDUK cedera akibat serangan Israel dibawa ke Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza untuk rawatan.  FOTO AFP.
PENDUDUK cedera akibat serangan Israel dibawa ke Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza untuk rawatan. FOTO AFP.
Agensi

Gaza: Sistem penjagaan kesihatan di hospital di Semenanjung Gaza kini lumpuh sepenuhnya, kata Kementerian Kesihatan Palestin semalam.

"Hospital di Gaza lumpuh sepenuhnya disebabkan perang Israel," kata jurucakap kementerian Ashraf al-Qudra pada sidang media di bandar Gaza, yang dilapor Anadolu.

Katanya, seramai 65 petugas perubatan terbunuh dan 25 ambulans musnah akibat serangan Israel sejak 7 Okt lalu.

"Sebanyak 12 hospital dan 32 pusat penjagaan kesihatan terpaksa menghentikan perkhidmatan. Kita bimbang lebih banyak lagi yang tidak beroperasi dalam beberapa jam akan datang kerana kekurangan bahan api," katanya.

Menurut jurucakap itu, kadar kematian di Gaza akibat serangan udara Israel meningkat kepada 5,791 orang, dengan mangsa termasuk 2,360 kanak-kanak.

Sejumlah 1,292 mangsa korban adalah wanita dan 295 warga emas, manakala 16,297 orang lagi cedera.

"Kanak-kanak, wanita dan warga emas merangkumi 70 peratus daripada mangsa," katanya.

Tambahnya, terdapat 1,550 orang dilapor terperangkap di bawah sisa runtuhan termasuk 870 kanak-kanak.

"Israel melakukan pembunuhan besar-besaran terhadap keluarga rakyat Palestin dalam beberapa jam lalu yang menyebabkan 305 kanak-kanak, 173 wanita dan 78 warga emas maut," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kerjasama Kesihatan di Kementerian Dr Marwan Abu Saad berkata, Hospital Al Shifaa yang menjadi tempat berlindung kepada 45,000 orang dan merawat lebih 600 pesakit yang cedera sudah di ambang kemusnahan kerana kehabisan bekalan perubatan dan katil.

Beliau memberitahu The National yang hospital itu penuh dan tidak mampu lagi menampung peningkatan kemasukan penduduk yang cedera, selain penggunaan tinggi elektrik dan air.

Lori membawa bantuan makanan, air dan ubat-ubatan mula memasuki Gaza melalui sempadan Rafah tetapi badan kemanusiaan memaklumkan ia hanyalah 'sedikit' daripada keperluan sebenar.

Dr Abu Saad berkata, mereka cuba mencari penyelesaian tetapi 'tidak realistik'.

"Jika serangan udara berterusan, kami tidak mungkin dapat mengendalikan jumlah besar mangsa.

"Hospital dan sekiranya menjadi sasaran beberapa kali dan setiap jam kami menerima jumlah pesakit yang ramai. Kami tidak ada katil lagi untuk ditawarkan, jadi kebanyakan pesakit dirawat di atas lantai," katanya.

Beliau juga tidak menafikan kelumpuhan perkhidmatan kesihatan akan berlaku dalam beberapa jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 9:09 AM