KONVOI ambulans yang diserang Israel dekat pintu masuk Hospital Al-Shifa, Gaza semalam. FOTO Reuters.
KONVOI ambulans yang diserang Israel dekat pintu masuk Hospital Al-Shifa, Gaza semalam. FOTO Reuters.
Agensi

Gaza: Tindakan tidak berperikemanusiaan Israel menyasarkan serangan ke atas ambulans berhampiran hospital terbesar Semenanjung Gaza dikecam hebat antarabangsa.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyelar serangan itu yang disifatkan jenayah kejam oleh pasukan pendudukan Israel apabila sengaja menyasarkan ambulans di pintu masuk Hospital Al-Shifa.

Katanya, pengeboman itu menyebabkan puluhan orang awam yang tidak bersalah meninggal dunia dan cedera termasuk kakitangan perubatan, wanita serta kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dalam serangan itu dan 26 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Palestin yang memaklumkan ambulans sedang membawa beberapa pesakit untuk rawatan.

OIC menggelar tindakan rejim itu sebagai "jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan" serta menuntut "kebertanggungjawaban dan hukuman di bawah undang-undang jenayah antarabangsa."

Pertubuhan itu yang dilapor Anadolu, memberi amaran bahaya keruntuhan hospital berikutan sering dijadikan sasaran, selain bekalan elektrik terputus dan kehabisan ubat-ubatan dan bahan api untuk mengendali generator.

OIC mengulangi gesaan agar masyarakat antarabangsa segera campur tangan dalam menghentikan pencerobohan tentera Israel dan menyediakan perlindungan untuk rakyat Palestin, selain memastikan bantuan perubatan serta kemanusiaan masuk ke Gaza.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus kesal dengan serangan ke atas ambulans berdekatan hospital Gaza.

"Sangat terkejut dengan laporan serangan ke atas ambulans yang memindahkan pesakit berhampiran hospital Al-Shifa di #Gaza, yang membawa kepada kematian, kecederaan dan kerosakan," kata Tedros di aplikasi X.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa pesakit, petugas perubatan, fasiliti kesihatan dan ambulans "mesti dilindungi pada setiap masa" dan menggesa gencatan senjata segera dilaksana.

Terdahulu, tentera Israel mengumumkan menyasarkan serangan ke atas ambulans di bandar Gaza dengan mendakwa mengenal pasti sel pejuang Hamas menggunakan ambulans itu.

"Sebagai tindak balas, pesawat Angkatan Pertahanan Israel menyerang dan meneutralkan Hamas yang beroperasi di dalam ambulans. Kami tegaskan bahawa kawasan ini di Gaza adalah zon perang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 10:45 AM