KEADAAN Hospital Al-Shifa di Gaza. Gambar kecil, Ahmed. FOTO Reuters & aplikasi X
KEADAAN Hospital Al-Shifa di Gaza. Gambar kecil, Ahmed. FOTO Reuters & aplikasi X
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tidak sampai hati meninggalkan pesakit yang tidak berdaya, enam doktor di Hospital Al-Shifa di Gaza, Palestin yang diarahkan membuat pengosongan semalam, memilih bertahan di kemudahan itu bersama pesakit sehingga ke saat ini.

Ketua Pembedahan Plastik Ahmed El Mokhallalati berkata, dia bersama lima lagi doktor memutuskan tindakan itu untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada kira-kira 300 pesakit yang kebanyakannya di unit rawatan rapi (ICU) akibat terputus anggota badan, selain bayi.

Katanya, kebanyakan kakitangan perubatan dan pesakit sudah meninggalkan Hospital Al-Shifa semalam kerana tentera rejim zinonis Israel mengarahkan pengosongan kemudahan itu dalam tempoh sejam.

"(Tetapi) lebih 300 pesakit tidak boleh meninggalkan hospital kerana dirawat di katil ICU dengan anggota badan terputus serta bayi dalam inkubator.

"Sekiranya tiada tindakan diambil, pesakit akan mati. Saya bersama lima doktor lain akan tinggal di hospital dengan pesakit kerana mereka tidak boleh keluar akibat keadaan kesihatan mereka itu," katanya menerusi platform X.

Ahmed berkata, beliau merayu pihak berkaitan termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) bertindak segera melindungi kakitangan perubatan dan pesakit yang masih berlindung di Hospital Al-Shifa.

"Pasukan @UN (PBB) menjawab, tiada ambulans dibenarkan untuk memindahkan pesakit dari hospital kerana Israel masih melakukan operasi ketenteraan di sekitar hospital yang akan kekal selama beberapa hari," katanya berkongsi perkembangan itu Subuh tadi (waktu Malaysia).

Katanya, keluarganya turut membantu menguruskan akaun media sosial miliknya bagi berkongsi perkembangan terkini di hospital terbabit berikutan akses Internet yang terhad.

"Saya terperangkap dalam hospital dengan akses internet yang sangat sedikit kerana gangguan internet berterusan dan sekatan bekalan dikenakan Israel ke atas Gaza.

"Hospital ini juga sudah kehabisan bekalan perubatan, makanan, elektrik dan air selama lebih seminggu dan mereka perlu mengambil tindakan untuk memindahkan pesakit di luar hospital," katanya.

Semalam, AFP melaporkan, ratusan orang keluar dari hospital itu dengan berjalan kaki selepas menerima arahan pengosongan dari Israel.

Kemudahan perubatan terbesar di Gaza itu menjadi sasaran Israel dalam konflik yang memasuki hari ke-44, apabila rejim itu menuduh ia digunakan sebagai markas operasi pejuang Hamas.

Sehingga kini, serangan rejim zinonis Israel mengorbankan kira-kira 12,300 meninggal dunia termasuk 5,000 kanak-kanak dan 3,300 wanita dengan lebih 30,000 cedera serta kira-kira 3,700 masih terperangkap di bawah runtuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 3:25 PM