FOTO pada 16 November menunjukkan pasukan perubatan menggunakan lampu telefon bimbit ketika merawat pesakit di Hospital Gaza. FOTO Reuters
FOTO pada 16 November menunjukkan pasukan perubatan menggunakan lampu telefon bimbit ketika merawat pesakit di Hospital Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Hospital Indonesia di utara Gaza 'lumpuh' sepenuhnya kerana kekurangan bekalan dan bilangan pesakit yang ramai di tengah-tengah serangan Israel ke atas wilayah yang dikepung itu, lapor Al Jazeera.

Pengarah hospital, Atef al-Kahlout berkata, hospital Itu tidak dapat menawarkan sebarang perkhidmatan lagi termasuk menerima pesakit.

Ia susulan terdapat rakaman dari hospital di Beit Lahiya di utara Semenanjung Gaza itu menunjukkan rakyat Palestin yang cedera berbaris di kemudahan itu dan terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

"Kami tidak boleh menawarkan perkhidmatan lagi. Kami juga tidak boleh menawarkan sebarang katil kepada pesakit," katanya.

Walaupun hospital itu mempunyai kapasiti 140 pesakit, al-Kahlout berkata, kira-kira 500 pesakit kini berada di dalam hospital.

Beliau berkata, 45 pesakit memerlukan pembedahan segera.

Al-Kahlout turut menyeru ambulans untuk tidak membawa orang yang cedera lagi ke kemudahan itu kerana kekurangan kapasiti.

Menurutnya, jabatan hospital tidak dapat menjalankan kerja mereka selain pekerja kesihatan di hospital menyatakan kekurangan bekalan yang kritikal.

"Pasukan perubatan di sini terpaksa memotong beberapa bahagian tubuh pesakit kerana organ reput. Hospital tidak dapat memindahkan mangsa yang cedera ke tempat lain. Semua hospital di Bandar Gaza dan utara berhenti beroperasi," katanya.

Sementara itu, seorang petugas kesihatan turut berkongsi masalah yang dihadapi ketika ini.

"Kami tidak mempunyai katil. Masih ramai memerlukan unit rawatan rapi. Di sini, kami tidak mempunyai ubat untuk mereka yang parah.

"Kami menerima orang yang cedera dari Wadi Gaza ke Beit Hanoon, malah ada yang berada di sini selama 10 hari," katanya.

Hospital Indonesia, yang terletak berhampiran kem pelarian Jabalia, melindungi ratusan orang yang kehilangan tempat tinggal yang mencari perlindungan di situ.

Persekitaran hospital itu diserang beberapa kali oleh tentera Israel, dengan sekurang-kurangnya dua orang awam terbunuh dalam serangan itu, antara 7 dan 28 Oktober lalu.

Tentera Israel mendakwa Hospital Indonesia digunakan untuk menyembunyikan pusat arahan dan kawalan bawah tanah Hamas.

Pegawai Palestin dan kumpulan Indonesia yang membiayai hospital itu menafikan perkara itu.

Hampir 30,000 rakyat Palestin cedera sejak Israel memulakan serangan ke atas Gaza pada 7 Oktober selepas Hamas melakukan serangan mengejut ke atas Israel yang membunuh kira-kira 1,200 orang.

Lebih 11,400 penduduk Palestin terbunuh, termasuk lebih 4,600 kanak-kanak, dalam serangan Israel ke atas Gaza.

Susulan itu, Israel juga mengehadkan bekalan air, makanan, elektrik dan bahan api dengan teruk, dengan agensi bantuan memberi amaran mengenai 'malapetaka kemanusiaan'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:29 AM