FOTO pada 4 Oktober menunjukkan kebakaran tanah gambut di Palembang, Sumatera Selatan. FOTO AFP
FOTO pada 4 Oktober menunjukkan kebakaran tanah gambut di Palembang, Sumatera Selatan. FOTO AFP
BERNAMA

Jakarta: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia pada Selasa memberi amaran kepada penduduk di Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah dan Nusa Tenggara Timur mengenai risiko kebakaran hutan baharu, lapor Agensi Berita Antara.

BMKG mencadangkan penduduk di tiga wilayah itu berwaspada terhadap potensi kebakaran hutan dan tanah serta mengelak daripada melakukan teknik tebas dan bakar untuk membersihkan tanah.

Terdahulu, Antara melaporkan bahawa BMKG mengunjurkan musim kemarau tahun ini mengikut corak yang sama seperti yang diperhatikan pada 2019.

Sebanyak 28 peratus wilayah di Indonesia, termasuk 194 zon bermusim (ZOM) yang ditentukan oleh BMKG, diramalkan mengalami musim kering mulai Jun tahun ini.

Menurut Ketua BMKG Dwikorita Karnawati, fenomena El Nino yang diperkuat oleh fasa positif Dipole Lautan Hindi (IOD), diramalkan akan mencetuskan kemarau pada musim kering di Indonesia.

Memandangkan kesan serius corak iklim El Nino ke atas beberapa wilayah di Indonesia, Badan Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) bekerjasama dengan kementerian dan institusi untuk menggunakan teknologi pengubahsuaian cuaca (TMC) bagi memadam kebakaran dan menyokong keperluan lain.

Dalam dua bulan terakhir, TMC dilaksanakan secara berterusan di Riau, Kalimantan Barat, Nusa Tenggara Timur (NTT), Jawa Barat, Jambi, Jakarta, Kalimantan Selatan dan Sumatera Selatan, menurut Ketua BNPB, Leftenan Jeneral Suharyanto dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sementara itu, sebahagian kawasan di pulau Sumatera Indonesia diselubungi jerebu akibat kebakaran hutan.

Pentadbiran Sumatera Selatan mengedarkan 3.6 juta pelitup muka kepada penduduk tempatan sebagai tindak balas kepada keadaan udara yang tidak sihat yang disebabkan oleh asap.

Menurut ketua Perkhidmatan Kesihatan Sumatera Selatan, Trisnawarman, Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di Kota Palembang mencapai tahap berbahaya pada 1 Oktober 2023.

Kualiti udara yang buruk itu boleh membahayakan kesihatan awam secara serius, tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 8:59 AM