FOTO fail menunjukkan guru di sekolah di Bandung menyambut pelajar ketika hari pertama sekolah selepas cuti sempena Aidilfitri, pada 12 Mei tahun lalu. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan guru di sekolah di Bandung menyambut pelajar ketika hari pertama sekolah selepas cuti sempena Aidilfitri, pada 12 Mei tahun lalu. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Didakwa tidak memakai tudung dengan betul, sekumpulan pelajar perempuan sebuah sekolah di Indonesia, terpaksa menerima hukuman dicukur sebahagian rambut, kata guru besar sekolah itu pada Isnin.

The Straits Times melaporkan, kejadian itu berlaku di satu daripada bahagian wilayah konservatif negara kepulauan yang mempunyai 270 juta penduduk itu.

Seorang guru yang tidak dinamakan di Sekolah Menengah Pertama Negeri (SMPN) 1 milik kerajaan negeri di bandar Lamongan, Jawa Timur, dilapor mencukur sebahagian rambut 14 gadis Islam pada Rabu lalu, kata guru besar, Harto.

Harto berkata, pihak sekolah sudah memohon maaf dan guru berkenaan, buat masa ini, digantung tugas.

Beliau berkata, pelajar sekolah itu dipercayai tidak memakai anak tudung sebelum memakai tudung, menyebabkan rambut mereka kelihatan.

"Tiada kewajipan bagi pelajar perempuan untuk berhijab, tetapi mereka dinasihatkan memakai anak tudung untuk penampilan yang kemas.

"Kami memohon maaf kepada ibu bapa dan selepas sesi permohonan maaf, kami mencapai persefahaman bersama," katanya.

Harto berkata, pihak sekolah berjanji akan memberikan bantuan psikologi kepada pelajar.

"Kami menyedari bahawa kami perlu menyelesaikan kes ini dengan berhati-hati untuk tidak membawa kesan berpanjangan kepada kanak-kanak," katanya.

Kumpulan hak asasi manusia menggesa supaya guru itu dipecat.

Kerajaan mengeluarkan dekri pada awal 2021 untuk membenarkan gadis dan wanita di sekolah negeri memilih pakaian yang boleh mereka pakai, melarang sekolah daripada menetapkan pakaian agama.

Mahkamah Agung negara itu bagaimanapun membatalkan keputusan berkenaan beberapa bulan kemudian, memutuskan bahawa kanak-kanak di bawah 18 tahun tidak mempunyai hak untuk memilih pakaian sekolah mereka sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 12:03 PM