WANITA muda memakai abaya di Nantes, barat Perancis. FOTO AFP
WANITA muda memakai abaya di Nantes, barat Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Sekolah di Perancis menghantar berpuluh-puluh pelajar perempuan pulang ke rumah kerana enggan menanggalkan abaya atau jubah pada hari pertama tahun persekolahan, kata seorang menteri kerajaan pada Selasa.

Jubah ialah pakaian muslimah yang labuh menutupi dari bahu hingga kaki yang dipakai oleh wanita Islam.

Menurut Menteri Pendidikan Perancis, Gabriel Attal, susulan larangan pakaian itu, hampir 300 pelajar masih hadir dengan memakai jubah ke sekolah pada pagi Isnin.

Attal berkata, kebanyakan pelajar bersetuju untuk menukar pakaian itu, tetapi 67 daripadanya enggan berbuat demikian dan dihantar pulang, katanya.

Bulan lalu, Kerajaan Perancis mengumumkan ia mengharamkan jubah di sekolah dan mengatakan ia melanggar peraturan sekularisme dalam pendidikan, yang menyaksikan tudung Muslim diharamkan atas alasan ia adalah simbol pegangan agama.

Tindakan itu menggembirakan golongan kanan politik, tetapi golongan kiri tegas berpendapat ia satu penghinaan terhadap kebebasan awam.

Attal berkata, pelajar yang enggan hadir ke sekolah diberikan surat yang ditujukan kepada keluarga mereka, menyatakan sekularisme bukan kekangan, ia adalah kebebasan.

Menteri itu menambah, jika masih ada pelajar yang hadir ke sekolah sekali lagi memakai pakaian itu, pihaknya akan mengadakan sesi dialog baharu.

Isnin lalu, Presiden Emmanuel Macron mempertahankan langkah kontroversi itu, mengatakan terdapat 'minoriti' di Perancis yang mencabar sekularisme diamalkan di negara republik itu.

Tambah beliau, ia membawa kepada akibat buruk seperti pembunuhan guru Samuel Paty, tiga tahun lalu kerana menunjukkan karikatur nabi Muhammad semasa kelas pendidikan sivik.

"Kami tidak boleh bertindak seolah-olah serangan pengganas (pembunuhan Paty) tidak berlaku," katanya dalam temu bual dengan saluran You Tube HugoDecrypte.

Sebuah persatuan yang mewakili umat Islam sudah memfailkan usul kepada Majlis Negara, mahkamah tertinggi Perancis untuk aduan terhadap pihak berkuasa negeri, bagi injunksi terhadap larangan memakai jubah untuk perempuan dan qamis, untuk lelaki.

Undang-undang diperkenalkan pada Mac 2004 melarang pemakaian sebarang objek atau pakaian pelajar yang menunjukkan simbol agama di sekolah.

Ini termasuk salib Kristian yang besar, kippa Yahudi dan tudung bagi umat Islam.

Tidak seperti tudung, pemakaian jubah sebelum ini dianggap tidak berkaitan dengan agama dan tidak menghadapi larangan, namun tidak pada masa sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 10:48 AM