Fazurawati Che Lah


KEBANYAKAN sekolah sama ada menengah atau rendah sudah merangka pelbagai aktiviti untuk sambutan Hari Kebangsaan pada Sabtu ini.

Acara tahunan ini memang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar, apatah lagi bagi yang terbabit secara langsung dengan aktiviti disediakan.

Aktiviti yang lazim diadakan seperti mendeklamasi sajak patriotik, koir, melukis poster, pengisahan sejarah dan sebagainya secara tidak langsung boleh meningkatkan semangat cinta tanah air dalam kalangan generasi muda.

Pembantu Am Rendah Sekolah Kebangsaan (SK) Perdana Jaya SS19, Subang Jaya, Selangor, Vijekumar Thanapal juga tidak mahu ketinggalan untuk menaikkan semangat kebangsaan dalam kalangan anak muda dengan menggayakan baju Jalur Gemilang ketika mengawasi lalu lintas sepanjang Ogos.

Usaha yang dilakukan Vijekumar atau mesra disapa Uncle Kumar itu dilakukan sejak 25 tahun lalu dan semangat patriotismenya amat membanggakan warga sekolah.

Tugas Uncle Kumar di sekolah itu sebagai pembantu am, tetapi mengambil mengambil inisiatif untuk mengawal lalu lintas murid dengan menggayakan pakaian berkenaan kerana mahu menyuntik dan menaikkan semangat warga sekolah serta orang ramai yang melalui sekolah itu.

Uncle Kumar berkata, dia mempunyai semangat patriotik yang sangat tinggi dan sentiasa menanti ketibaan 31 Ogos pada setiap tahun.

“Semangat patriotik ini sejak kecil lagi apabila ibu saya menjahit pakaian bertemakan Jalur Gemilang pertama untuk dipakai ketika sambutan Hari Kebangsaan.

“Mungkin dengan cara ini saya dapat membantu menyemai semangat kemerdekaan dalam diri kanak-kanak sekolah ini selain memahami nilai kemerdekaan serta menghargai Jalur Gemilang,” katanya yang hampir 25 tahun berkhidmat di sekolah itu.

Malah menurutnya, kelaziman berbusana baju Jalur Gemilang setiap kali tibanya bulan kemerdekaan dilakukan sejak tahun pertama dia di SK Perdana Jaya SS19 itu.

“Saya gembira dengan apa yang saya lakukan ini, setiap kali mengawasi lalu lintas dengan memakai baju Jalur Gemilang, murid dan ibu bapa menyapa kerana mereka kagum melihat saya memakai busana ini.

“Tindakan dan kesungguhan saya ini sedikit sebanyak mesti menimbulkan rasa sayang kepada negara selain menjadi contoh buat generasi muda khususnya,” katanya.

Menurut Penolong Kanan Pentadbiran SK Perdana Jaya SS19, Muhammad Faisol Abdul Majid, apa yang dilakukan Vijekumar sememangnya membanggakan warga sekolah dan semangatnya wajar dicontohi.

“Semangat patriotik Uncle Kumar tidak pernah pudar dan tidak hanya ketika berada di kawasan sekolah malah di mana-mana sahaja.

“Kami cukup bertuah kerana mempunyai tenaga kerja seperti Uncle Kumar yang bukan sahaja membantu dalam tugas penyelenggaraan sekolah, malah mengambil inisiatif menjaga lalu lintas dengan gaya tersendiri, terutama pada bulan kemerdekaan,” katanya.

Muhammad Faisol memberitahu sebaik memasuki Ogos, Uncle Kumar antara yang paling sibuk menguruskan pemasangan jalur gemilang di sekeliling kawasan sekolah.

“Seperti sekolah lain, kami juga tidak ketinggalan menganjurkan sambutan kemerdekaan peringkat SK Perdana Jaya SS19.

“Sepanjang Ogos pelbagai aktiviti dijalankan untuk menyuntik semangat kemerdekaan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bestari ke beberapa sekolah sekitar Lembah Klang turut mendapati hampir semua sekolah merangka pelbagai aktiviti kemerdekaan bagi pelajarnya.

Contohnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, Selangor menghias kelas dengan Jalur Gemilang dan ia aktiviti tahunan sekolah berkenaan bagi menggalakkan pelajar memeriahkan bulan kebangsaan ini.

Pengetuanya, Zainudin Mohamad berkata, selain memasang bendera, sambutan kemerdekaan peringkat sekolah itu turut dijalankan dengan aktiviti kuiz dan pertandingan program patriotik.

“Bagi tahun ini, pelancaran bulan kemerdekaan berbeza sedikit berbanding tahun sebelumnya apabila kita membenarkan pelajar perempuan termasuk guru memakai tudung Jalur Gemilang.

GURU SMK Sungai Besi memakai tudung bertemakan Jalur Gemilang ketika sambutan bulan ebangsaan.
GURU SMK Sungai Besi memakai tudung bertemakan Jalur Gemilang ketika sambutan bulan ebangsaan.

“Ia bukan sahaja memeriahkan suasana sambutan, malah dapat menaikkan semangat cinta akan negara,” katanya.

Bagi guru dari SMK Sungai Kertas, Gombak pula, Mohamad Farid Mohamad Fauzi, aktiviti berbentuk patriotik di sekolah bukan sahaja memupuk rasa cinta kepada tanah air dalam kalangan warga sekolah tetapi turut menyemarakkan semangat perpaduan kaum.

“Pembentukan seseorang modal insan itu terletak pada sahsiah dan kemahiran diri yang pelbagai selain kecemerlangan akademik,” katanya.

Pelajar tingkatan tiga, Adam Ishraq Addie Irwan berkata, program sambutan bulan kemerdekaan membolehkan pelajar menghargai pejuang kemerdekaan.

“Kemerdekaan mengajar kita untuk tidak berhenti mengalah dan terus berusaha untuk mencapai yang diimpikan.

Rakannya, Siti Nor Hafiza Samsuri, turut mengakui kepentingan perpaduan kaum dan erti kemerdekaan itu membantu rakyat Malaysia untuk sentiasa bersyukur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:30 AM
UNCLE Kumar memakai busana jalur gemilang ketika mengiringi murid masuk ke sekolah.
UNCLE Kumar memakai busana jalur gemilang ketika mengiringi murid masuk ke sekolah.