PELAJAR di sebuah sekolah di Bangkok. FOTO fail AFP
PELAJAR di sebuah sekolah di Bangkok. FOTO fail AFP
Agensi

Bangkok: Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), Thailand memberi kelonggaran dengan membenarkan 437 sekolah untuk pelajarnya memakai pakaian kasual sekali dalam seminggu sebagai langkah pertama ke arah kebebasan dan menghormati hak kanak-kanak.

Straits Times melaporkan, BMA juga mengarahkan sekolah untuk mengurangkan peraturan yang berkaitan dengan gaya rambut pelajar, dan menegaskan bahawa gaya dan pilihan semua individu perlu dihormati.

Dua arahan pada 23 Jun lalu dan dihantar ke semua pejabat daerah untuk dihantar ke sekolah di bawah bidang kuasa mereka.

Satu perintah menetapkan pelajar di semua sekolah di bawah BMA harus dibenarkan satu hari dalam seminggu untuk tidak memakai pakaian seragam.

Pihak sekolah boleh mencapai persetujuan dengan pelajar dan ibu bapa mereka.

Dalam arahan itu, ada dinyatakan pelajar yang sukar memakai pakaian kasual boleh memilih pakaian sukan atau pengakap.

Arahan sama juga menyatakan sekolah mesti memastikan bahawa peraturan baharu itu tidak melanggar jantina, kepercayaan pelajar atau menjejaskan hak dan kebebasan mereka.

Perubahan itu adalah sebagai tindak balas kepada aktivis pelajar yang membantah paksaan memakai pakaian seragam.

Isu itu menjadi perdebatan di media sosial awal bulan ini apabila aktivis berusia 15 tahun, Thanalop 'Yok' Phalanchai yang dihalang daripada mendaftar di sebuah sekolah yang berprestij.

Remaja termuda yang menghadapi pertuduhan lese majeste di Thailand itu, dihalang kembali ke sekolah kerana enggan memakai uniform sekolah, manakala rambutnya diwarnakan.

Pada 14 Jun, sekolah itu mengisytiharkan bahawa Thanalop bukan lagi pelajarnya kerana berulang kali melanggar peraturan sekolah.

Ia mengundang pelbagai maklum balas di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 2:42 PM