SALAH seorang calon, Tharman Shanmugaratna (tengah) dilihat di pusat penamaan calon di pusat penamaan calon di Ibu Pejabat Persatuan Rakyat (PA) King George’s Avenue di sini. FOTO Reuters
SALAH seorang calon, Tharman Shanmugaratna (tengah) dilihat di pusat penamaan calon di pusat penamaan calon di Ibu Pejabat Persatuan Rakyat (PA) King George’s Avenue di sini. FOTO Reuters
BERNAMA

Singapura: Tiga individu yang layak menjadi calon Pilihan Raya Presiden Singapura berjaya melalui proses penamaan calon di sini, semalam.

Mereka ialah bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd Ng Kok Song, bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd Tan Kin Lian dan bekas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tan Meng Dui di pusat penamaan calon di Ibu Pejabat Persatuan Rakyat (PA) King George's Avenue di sini.

Pilihan Raya Presiden Singapura ditetapkan pada 1 September 2023.

Selepas pengumuman itu, setiap calon diberikan dua minit untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada penyokong mereka yang berkumpul sejak 10 pagi.

Menurut Ng, beliau bertanding jawatan Presiden bagi melindungi tiga khazanah Singapura yang merangkumi pentadbiran awam yang baik.

"Saya sudah bekerja selama 45 tahun dalam perkhidmatan awam. Saya mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan untuk menegakkan integriti jawatan perkhidmatan awam," katanya.

Bagi Shanmugaratnam, beliau mahukan "pertandingan yang adil, bermaruah dan terhormat yang memberi tumpuan kepada apa yang kita boleh tawarkan kepada rakyat Singapura serta masa depan kita."

"Kita bimbangkan mengenai masa depan yang berbeza, yang lebih sukar dan mencabar. Saya bertanding untuk menawarkan pengalaman dan keupayaan saya di lapangan selama beberapa dekad di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Tan berkata, beliau mahu memberi peluang kepada rakyat Singapura untuk mengundi presiden yang "benar-benar bebas daripada kerajaan yang memerintah."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 7:51 AM