Agensi

Seoul: Robot android, EveR 6, menaiki podium sebagai konduktor muzik di Seoul pada petang Jumaat, untuk mengetuai persembahan orkestra kebangsaan Korea Selatan, menandakan percubaan pertama seumpamanya di negara itu.

Yahoo!News melaporkan robot dua tangan itu yang direka Institut Teknologi Perindustrian Korea, membuat penampilan sulungnya di Teater Kebangsaan Korea, menampilkan pemuzik terkemuka dalam orkestra kebangsaan negara itu.

Robot itu, dengan wajah humanoid, mula-mula tunduk kepada penonton dan mula melambai-lambaikan tangannya untuk mengawal tempo persembahan secara langsung.

"Pergerakan oleh konduktor (robot EveR 6) sangat terperinci. Robot itu dapat mempersembahkan pergerakan yang terperinci jauh lebih baik daripada apa saya bayangkan.

"Tetapi kelemahan kritikal EverR 6, ialah ia tidak boleh mendengar," kata Choi Soo-yeoul, yang mengetuai persembahan robot itu.

Lee Young-ju, seorang penonton yang mempelajari muzik tradisional Korea berkata, pergerakan robot itu sempurna dalam mengekalkan irama.

"Namun robot itu kekurangan 'nafas' atau keupayaan untuk memastikan orkestra bersedia untuk terbabit secara kolektif dan serta-merta yang ianya penting dalam prestasi.

"Nampaknya ada beberapa pengubahsuaian yang perlu dilakukan untuk robot itu melakukan kerjanya sebagai konduktor muzik," kata Lee.

ROBOT EveR 6 ditampilkan sebagai konduktor orkestra orkestra kebangsaan Korea Selatan. FOTO Reuters
ROBOT EveR 6 ditampilkan sebagai konduktor orkestra orkestra kebangsaan Korea Selatan. FOTO Reuters

Song In-ho, 62, seorang lagi penonton, juga berkata persembahan EveR 6 nampaknya berada di peringkat rendah.

"Saya rasa ia akan dapat melakukan pengendalian dengan sendirinya apabila dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI) untuk memahami dan menganalisis muzik," kata Song.

Robot humanoid itu membimbing tiga daripada lima keping not muzik yang dipamerkan pada petang Jumaat berkenaan, termasuk satu yang dikendalikan bersama dengan Choi.

"Ia adalah bacaan yang menunjukkan bahawa robot dan manusia boleh wujud bersama dan melengkapi antara satu sama lain, dan bukannya satu menggantikan yang lain," kata Choi selepas konsert itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 1:59 PM