ROBOT orkestra pernah digunakan dalam persembahan Orkestra Filharmonik Lucca di Pisa, Itali, pada 12 September 2017. FOTO fail AFP
ROBOT orkestra pernah digunakan dalam persembahan Orkestra Filharmonik Lucca di Pisa, Itali, pada 12 September 2017. FOTO fail AFP
BERNAMA

Seoul: Sebuah robot akan mengendalikan orkestra buat kali pertama di Korea Selatan menerusi konsert yang dijadualkan diadakan pada akhir bulan ini.

Yonhap melaporkan, Orkestra Kebangsaan Korea, sebuah orkestra muzik tradisional Korea di bawah Teater Kebangsaan Korea, akan membuat persembahan Absence di Haeoreum Grand Theatre di tengah Seoul, pada 30 Jun, menampilkan robot sebagai konduktor.

Walaupun robot pernah cuba menjalankan peranan itu beberapa kali di seluruh dunia, ia percubaan pertama seumpamanya di Korea Selatan.

Antara robot yang telah mengambil alih pentas sebagai konduktor ialah Asimo, yang dicipta oleh Honda di Jepun pada tahun 2008; Yumi, robot usaha sama di Switzerland pada 2017; Alter 2, robot humanoid kecerdasan buatan generasi kedua yang dibangunkan di Jepun pada 2018; dan Alter 3, generasi ketiga siri robot Alter, dikeluarkan pada 2020.

Bakal mengetuai konsert itu, EveR 6, robot android ekspresif emosi dibangunkan oleh Institut Teknologi Perindustrian Korea (KITECH) setahun yang lalu.

Kekuatan utama robot yang menyerupai tubuh manusia itu ialah pergerakan leher dan lengan bawah yang fleksibel dan tepat yang membolehkan ia melaksanakan perubahan pergerakan dengan pantas.

Untuk latihan EveR 6, KITECH menggunakan teknologi "penangkapan gerakan" untuk merakam trajektori baton seseorang secara digital melalui lampiran sensor, serta teknologi menyimpan daftar kelajuan pergerakan baton dan membolehkan robot mengejar kelajuan dengan tepat.

Seorang lagi konduktor yang akan mengetuai orkestra ialah Choi Soo-yeol.

Selepas mempersembahkan pentas solo yang menonjolkan kekuatan individu masing-masing, kedua-dua konduktor akan membuat persembahan bersama mengendalikan satu karya muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 3:42 PM