RONDOFEST kembali lagi di penangpac bulan depan bagi meraikan seni muzik, kebudayaan dan masyarakat.
RONDOFEST kembali lagi di penangpac bulan depan bagi meraikan seni muzik, kebudayaan dan masyarakat.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


FESTIVAL Muzik RondoFest (RondoFest) bakal kembali lagi di Pusat Seni Persembahan Penang (penangpac) bulan depan bagi meraikan seni muzik, kebudayaan dan masyarakat.

Bermula pada 30 Mei ini, festival berkenaan akan menampilkan pelbagai bengkel, kelas dan persembahan istimewa sepanjang lima hari ia berlangsung.

Peserta akan berpeluang untuk bekerjasama dan menimba pengalaman dengan orkestra luar negara termasuk dari Asia Tenggara, Belanda, Itali, Jerman, United Kingdom, Taiwan dan Hong Kong.

Program itu akan merangkumi semua peringkat pengajian muzikal daripada permulaan hingga ke tahap mahir.

Ia bagi memastikan bahawa ada sesuatu untuk setiap peserta, tanpa mengira tahap pengalaman atau kepakaran mereka.

Program itu turut membolehkan peserta terbabit dalam penciptaan muzik secara kolaboratif bersama pemuzik tempatan dan antarabangsa.

Penganjuran kali ini adalah tahun keempat berturut-turut festival itu diadakan dengan sokongan entiti seperti Kedutaan Belanda dan Itali, Yayasan Sime Darby, ABRSM, Tanjung Point Residences dan E&O Trading Sdn Bhd.

Dalam pada itu, festival terbabit turut menyerlahkan kepentingan pendidikan muzik khususnya genre klasik kepada masyarakat.

Selain menawarkan latihan holistik dalam bidang itu seperti persembahan, teknik pengendalian, pembangunan kerjaya, penyediaan persembahan dan pembabitan penonton, ia juga menyerlahkan komitmen organisasi dalam memupuk bakat golongan muda.

PESERTA berpeluang bekerjasama serta menimba pengalaman dengan orkestra luar negara.
PESERTA berpeluang bekerjasama serta menimba pengalaman dengan orkestra luar negara.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kenny Ooi, pendidikan muzik terutamanya untuk generasi muda adalah salah satu cara untuk masyarakat memupuk kepelbagaian dan kreativiti selain memupuk budaya sosial yang menghargai seni.

"Muzik menawarkan cara dan saluran untuk meneroka serta meluahkan perasaan dalaman seseorang dan ia bukanlah sekadar pendapat peribadi.

"Kajian sebelum ini menunjukkan bagaimana pendedahan awal kepada muzik klasik menyumbang kepada peningkatan kesihatan, kesejahteraan dan hasil pendidikan," katanya.

Sementara itu, Produksi Rondo yang ditubuhkan pada tahun 2019 adalah salah satu perusahaan sosial dan organisasi muzik terkemuka di Malaysia, berdedikasi untuk memberi inspirasi kepada masyarakat melalui program serta inisiatif pendidikan muzik berkualiti tinggi.

Sebelum ini, ia pernah bekerjasama dengan artis dan kumpulan terkenal dari seluruh dunia termasuk pemain biola Jerman-Perancis Michael Barenboim; pemain biola Taiwan-Amerika; Richard Lin, pemain

klarinet Perancis Nicolas Baldeyrou; pemain flaut Korea, Jasmine Choi, Royal Concertgebouw Brass dan Calefax Reed Quintet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 7:00 AM