MOHAMMED Tamimi.
MOHAMMED Tamimi.
Agensi

Baitulmaqdis: Menyedihkan apabila kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun di Palestin, meninggal dunia empat hari selepas ditembak di kepala oleh tentera Israel.

Portal BBC melaporkan, mangsa, Mohammed Tamimi dan bapanya ditembak ketika meninggalkan rumah mereka di Nabi Saleh dekat Tebing Barat.

Tentera Israel berkata, tentera melepaskan tembakan ketika mengejar dua lelaki bersenjata yang sebelum itu menembak ke arah penempatan Yahudi.

Dalam satu kenyataan selepas kejadian itu, tentera Israel menyatakan kekesalan kerana menembak bukan pejuang Palestin.

Aktivis dan wartawan Palestin Bilal Tamimi yang turut cedera berkata, tentera Israel sedang menunggu untuk menyerang hendap sebuah kereta di pintu masuk Nabi Saleh dan melepaskan tembakan ketika kenderaan itu menghampiri lokasi.

Susulan kejadian, kanak-kanak yang menjadi mangsa dibawa dengan helikopter tentera Israel ke Hospital Kanak-kanak Safra di Israel untuk rawatan lanjut.

Bapanya, Haitham, kini dibenarkan keluar dari hospital di Palestin dan difahamkan sempat melawat anaknya di Israel sebelum budak itu meninggal dunia.

Tentera Israel, yang mempunyai pos di luar Nabi Saleh, sebelum ini mengeluarkan video yang menunjukkan dua individu menembak dengan pistol.

Katanya, tembakan ke arah penempatan Halamish yang juga dikenali sebagai Neveh Tzuf berlaku selama beberapa minit.

Ia berkata, tenteranya bertindak balas dengan tembakan langsung, menyebabkan dua rakyat Palestin cedera.

"Tentera [Israel] menyesali tindakan itu dan komited melakukan segala yang terdaya untuk mengelak berlakunya lagi insiden seperti itu. Kes itu dalam siasatan," katanya.

Penempatan haram Halamish diwujudkan pada 1970-an dan sudah lama menjadi punca pertelingkahan dengan penduduk kampung Palestin, yang terletak berhampiran.

Selama beberapa tahun, demonstrasi Jumaat sering diadakan di Nabi Saleh, dengan aktivis tempatan membantah rampasan tanah kampung dan pengambilalihan mata airnya.

Ia selalunya membawa kepada konfrontasi ganas dengan tentera Israel menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah dalam insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 12:46 PM