PENGKRITIK berkata, China berusaha untuk mengawal agama dengan lebih ketat. Dalam tindakan kerasnya, Beijing berkata ia sedang berusaha untuk memerangi keganasan. FOTO Reuters
PENGKRITIK berkata, China berusaha untuk mengawal agama dengan lebih ketat. Dalam tindakan kerasnya, Beijing berkata ia sedang berusaha untuk memerangi keganasan. FOTO Reuters
AFP

Beijing: China mengerahkan ratusan polis dan membuat tangkapan di sebuah bandar yang kebanyakan penduduknya beragama Islam di barat daya negara itu selepas pertempuran tercetus berhubung rancangan merobohkan sebahagian masjid, kata saksi kepada AFP.

Bandar Nagu, wilayah Yunnan, baru-baru ini, meneruskan rancangan untuk memusnahkan empat menara dan bumbung kubah Masjid Najiaying, kata seorang penduduk pada Isnin lalu,

Kawasan itu adalah tempat tinggal kepada enklaf Hui yang cukup besar, kumpulan etnik yang kebanyakannya beragama Islam dan mengalami tekanan dalam menghadapi tindakan keras yang meluas daripada pihak berkuasa.

Pada Sabtu, berpuluh-puluh pegawai polis yang memegang cota dan perisai rusuhan menghalau orang ramai di luar masjid yang membaling objek ke arah mereka, berdasarkan video yang tular di media sosial dan saksi.

"Mereka mahu meneruskan perobohan paksa, jadi orang di sini pergi untuk menghalang mereka," kata seorang wanita tempatan yang juga enggan dikenali kepada AFP.

Polis membuat jumlah tangkapan yang tidak ditentukan berhubung kejadian itu dan beberapa ratus pegawai polis kekal di bandar itu setakat Isnin, kata dua saksi itu.

Orang ramai di kawasan sekitar masjid berdepan gangguan internet dan isu sambungan lain sejak pertempuran, tambah mereka.

Notis yang dikeluarkan Ahad oleh kerajaan Tonghai – yang mentadbir Nagu – berkata, ia membuka penyiasatan terhadap "sesuatu kes yang sangat mengganggu pengurusan dan ketenteraman sosial."

Notis itu mengarahkan mereka yang terbabit "menghentikan serta-merta semua perbuatan yang menyalahi undang-undang dan jenayah", berikrar untuk "menghukum seberat-beratnya" sesiapa sahaja yang enggan menyerahkan diri.

Mereka yang menyerah diri secara sukarela sebelum 6 Jun akan "dilayan dengan lebih ringan", tambah notis itu.

Dihubungi oleh AFP pada Selasa, seorang pegawai di jabatan publisiti Tonghai menafikan gangguan internet, tetapi enggan mengulas lanjut.

China berusaha untuk mengawal agama dengan lebih ketat sejak Presiden Xi Jinping berkuasa sedekad lalu, dan dalam tindakan kerasnya terhadap umat Islam, Beijing mendakwa ia sedang berusaha untuk memerangi keganasan dan pemikiran ekstremis.

Dianggarkan satu juta Uyghur, Hui dan minoriti Islam lain ditahan di wilayah barat Xinjiang sejak 2017 di bawah kempen kerajaan, yang dianggap oleh Amerika Syarikat dan kumpulan hak asasi manusia sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 8:51 AM