ZABIDI akan lawan pasukan Mentega Terbang. FOTO Facebook Zabidi Mohamed
ZABIDI akan lawan pasukan Mentega Terbang. FOTO Facebook Zabidi Mohamed

Kuala Lumpur: "Demi menjaga akidah umat Islam di Malaysia, saya akan lawan," kata penulis, Zabidi Mohamed selepas menerima notis tuntutan daripada penerbit, pengarah dan penulis skrip filem kontroversi, Mentega Terbang yang menuntutnya untuk memadam kenyataan di Facebook yang mengaitkan filem itu sebagai mempermainkan dan mempersenda agama Islam serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Zabidi dalam satu kenyataan di Facebook turut mengajak mana-mana peguam yang sanggup membantunya dalam menjaga kesucian agama Islam.

"Jika ada peguam-peguam Muslim yang ingin bersama-sama saya dalam menjaga kesucian agama Islam boleh mesej peribadi saya. Kebenaran hanya dengan Islam," tulisnya.

Zabidi yang juga bekas majistret turut dikenali sebagai penulis buku seperti Arqam - Tersungkur Di Pintu Syurga, Maunah - Kebenaran Yang Sebenar dan Catatan Penglipur Lara Sang Majistret selain aktif sebagai penulis skrip.

Terdahulu, peguam yang mewakili pasukan Mentega Terbang sudah menghantar notis tuntutan kepada Zabidi bertarikh 3 Mac yang antara lain memintanya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan fitnah yang dibuat terhadap pasukan filem terbabit.

Pengarah dan penulis skripnya, Mohd Khairi Anwar Jailani dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram berkata, tindakan itu diambil susulan penulisan Zabidi di Facebook yang mendakwa Mentega Terbang sebagai filem menghina, meremeh, merendah-rendahkan, memperleceh, menodai dan mempersendakan agama Islam.

Selain Khairi, empat lagi individu yang terbabit dalam penghasilan filem Mentega Terbang iaitu Tan Meng Kheng, T Arjun, R Vishnuvarman dan Ti-Teng Hui turut menafikan sebarang dan semua bentuk dakwaan bahawa filem itu sama sekali berusaha untuk menghujat, mengkufur dan berhasrat untuk mewujudkan budaya murtad dalam kalangan orang Islam seperti didakwa Zabidi.

Notis itu turut mendakwa penulisan Zabidi adalah tidak benar, berniat jahat dan fitnah. Ia juga bertujuan untuk menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti mereka untuk mendatangkan kutukan dan ancaman.

Zabidi yang juga bekas majistret dan peguam juga perlu memberi maklumbalas dalam masa 48 jam dari tarikh notis ini dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 11:23 AM