KUDA berjalan di ladang milik penduduk Palestin berdepan depan penempatan haram Israel di timur Baitulmaqdis. FOTO AP
KUDA berjalan di ladang milik penduduk Palestin berdepan depan penempatan haram Israel di timur Baitulmaqdis. FOTO AP
AP

Baitulmaqdis: Rejim Israel memberi kelulusan untuk lebih 7,000 kediaman baharu di Tebing Barat, kata penyokong dan penentang penempatan itu pada Khamis.

Tindakan itu bercanggah dengan penentangan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap pembinaan haram di wilayah yang diduduki Israel.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan kenyataan mengkritik keras pembinaan penempatan Israel di tanah milik Palestin.

Amerika Syarikat (AS) iaitu sekutu rapat Israel, menghalang resolusi undang-undang yang lebih sukar, dengan diplomat mengatakan mereka sudah menerima jaminan Israel untuk menahan diri daripada tindakan unilateral selama enam bulan.

Kelulusan baharu itu selepas mesyuarat dua hari yang berakhir Khamis, dan ia jelas bercanggah dengan dakwaan berkenaan.

AS berulang kali mengkritik pembinaan penempatan Israel di Tebing Barat dan mengatakan ia menjejaskan harapan untuk penyelesaian dua negara dengan Palestin, tetapi tidak mengambil tindakan untuk menghentikannya.

Peace Now iaitu kumpulan pemantau antipenempatan yang menghadiri mesyuarat itu berkata, jawatankuasa perancangan memberikan kelulusan untuk kira-kira 7,100 unit rumah baharu di seluruh Tebing Barat.

Kumpulan itu berkata, jawatankuasa berkenaan menjadualkan mesyuarat bulan depan untuk membincangkan rancangan membangunkan kawasan strategik di timur Baitulmaqdis yang dikenali sebagai E1.

AS sebelum ini menyekat projek itu, yang sebahagian besarnya akan membahagikan Tebing Barat dan ia dikatakan pengkritik menjadikan mustahil untuk menubuhkan negara Palestin.

Pengarah kumpulan, Lior Amichai berkata, kira-kira 5,200 unit rumah berada di peringkat awal perancangan, manakala selebihnya diluluskan untuk pembinaan jangka pendek.

Beliau juga berkata, pembinaan sudah diluluskan di empat pos luar yang tidak dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 10:09 AM